Monday 14 August 2017

MALAYSIA MENUJU PRU14: Bila Pru14 Akan Diadakan?

Berdasarkan Perlembagaan Malaysia, mandat Barisan Nasional yang diketuai oleh Dato Seri Najib sebagai Kerajaan Persekutuan hanya akan berakhir pada bulan Jun 2018. Manakala PRU14 perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas Parlimen bubar secara sendirinya. Oleh itu, secara teknikalnya PRU14 boleh diheret sehingga ke bulan Ogos 2018. Namun, perkara sedemikian belum pernah terjadi dalam sepanjang proses PRU di Malaysia sejak mencapai kemerdekaan. Sudah menjadi amalan kepada Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan Persekutuan akan mengistiharkan pembubaran parlimen lebih awal bagi membuka laluan kepada PRU diadakan. Ini kerana, perlembagaan juga memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk berbuat demikian.

Kelebihan ini sudah tentu akan digunakan dengan sebaiknya oleh Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen pada masa yang dirasakan akan memberikan kelebihan kepada partinya untuk memenangi semula PRU. Ini menyebabkan PRU dalam politik Malaysia menjadi ‘unik’ dengan terdapatnya unsur-unsur surprise dan suspense yang disulami dengan bermacam-macam gosip mengenai bilakah PRU akan diadakan. Namun secara umumnya pihak-pihak yang berkepentingan khususnya parti pembangkang akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan maklumat bagi mengetahui jarak waktu PRU diadakan. Mereka tentu sahaja akan sentiasa memantau gerak kerja agensi yang berkaitan khususnya SPR kerana daripada situ petunjuk PRU dapat diketahui.

Sebagai parti pemerintah yang ingin mengekalkan tampuk pemerintahan, sudah tentu Dato Seri Najib akan memilih untuk diadakan PRU pada masa potensi kemenangan berpihak kepadanya. Dalam konteks pilihanraya demokrasi, potensi kemenangan banyak bergantung kepada kekuatan parti politik membawa isu yang dapat menawan hati para pengundi. Tidak kira dimana pun pilihanraya demokrasi diadakan termasuklah di negara -negara maju yang menjadi contoh amalan demokrasi seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan negara-negara eropah yang lain, senjata utama yang akan dijadikan isu dalam kempen ialah menyerang kelemahan pihak lawan. 

Selain itu, sentiman wujudnya ancaman juga merupakan salah satu senjata yang sangat berkesan memberikan potensi kemenangan. Di barat, golongan imigran khususnya umat Islam sering dijadikan sebagai kelompok yang dipropagandakan memberikan ancaman kepada rakyat kehidupan masyarakat barat bagi mendapatkan undi daripada majoriti rakyat tempatan. Begitu juga dengan setiap kali PRU diadakan di India, kemarahan dan kebencian masyarakat hindu terhadap umat Islam sering di kobarkan bagi mendapatkan sokongan pengundi-pengundi hindu yang merupakan golongan majoriti di India.

Berdasarkan realiti semasa, banyak isu yang sedang berlaku dalam negara khususnya yang berkaitan dengan skandal 1MDB yang telah mencipta banyak isu hiliran seperti peningkatan hutang negara, kemasukkan pelaburan berskala besar dari negara China serta wujudnya persepsi yang kuat campurtangan politik terhadap institusi-institusi penting negara telah memberikan disadvantage kepada pentadbiran Dato Seri Najib.  Perkara ini tentu sahaja telah menyempitkan potensi kemenangan bagi Barisan Nasional pimpinan Dato Seri Najib. Selain itu, mencipta persengketaan dengan pemimpin yang sangat berpengalaman dan berpengaruh di negeri Sabah iaitu Dato Seri Shafie Apdal merupakan satu kesilapan besar. Pengaruh dan pengalaman yang dimiliki oleh Dato Seri Shafie Apdal terhadap selok belok politik di Sabah telah menjadikan Sabah bukan lagi negeri  yang menjadi fixed deposit kepada Barisan Nasional.

Jika sebelum ini, Barisan Nasional boleh memberikan fokus yang banyak untuk menawan negeri-negeri di semenanjung kerana tidak perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk mengekalkan cengkamannya terhadap Sabah. Kini keadaannya telah berubah dengan adanya gelombang politik baru yang dibawah oleh Parti Warisan pimpinan Dato Seri Shafie Apdal. Satu lagi cabaran baru yang menyempitkan lagi potensi kemenangan Barisan Nasional. Dalam masa yang sama, krisis yang menimpa organisasi yang sangat dekat dengan orang melayu iaitu FELDA telah membuka peluang kepada Parti Bersatu Pribumi meluaskan pengaruhnya ke dalam FELDA yang selama ini menjadi kubuh kuat UMNO.

Memang dapat dilihat dengan jelas bahawa Dato Seri Najib berusaha dengan bersungguh-sungguh melakukan bermacam-macam perkara agar Barisan Nasional dapat memenangi PRU14. Boleh dikatakan susuk tubuh Dato Seri Najib sentiasa ada di mana-mana, tanpa mengira siang atau malam, ada sahaja program atau aktiviti yang dihadiri beliau. Kesungguhan Dato Seri Najib berkerja siang dan malam, berkejar ke sana ke sini tentu sahaja kerana beliau sedar, beliau tidak boleh kalah dalam PRU14. Ada banyak konsekuensi yang tidak baik akan menimpa dirinya jika beliau hilang kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia. Beliau tidak mempunyai pilihan lain selain perlu kekal sebagai Perdana Menteri.

Berdasarkan perkembangan semasa, melambat-lambatkan PRU14 sebenarnya lebih banyak menguntungkan pihak pembangkang yang kini diketuai oleh Tun Mahadhir. Masa yang ada bukan sahaja dapat digunakan oleh pembangkang termasuklah gelombang politik baru di Sabah terus menerus menyerang pentadbiran Dato Seri Najib, tetapi juga telah memberi masa kepada parti-parti pembangkang mengukuhkan kesatuan mereka. Sebaliknya, semakin banyak pula kelemahan Barisan Nasional khususnya oleh pimpinan UMNO yang di perlihatkan kepada rakyat Malaysia. Persoalannya, jika demikian keadaannya mengapa Dato Seri Najib tidak membubarkan parlimen lebih awal?.

Apa yang pasti Dato Seri Najib hanya akan memberi ruang kepada PRU14 diadakan jika beliau merasakan beliau dapat mengekalkan kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dato Seri Najib tentu sahaja akan menggunakan apa sahaja peluang atau cara agar beliau kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia. Itulah keutamaan beliau, kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Anda Mungkin Meminati :




No comments:

Post a Comment