Thursday 9 February 2017

Adakah Trump Akan Memerangi Islam?

Kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-45 dalam pilihanraya Amerika baru-baru ini, telah menimbulkan keresahan kepada banyak pihak termasuklah kepada umat Islam di seluruh dunia. Ini kerana antara isu yang dibangkitkan oleh Trump semasa kempennya ialah akan melaksanakan dasar-dasar yang tidak mesra terhadap umat Islam. Trump semasa kempennya secara berterus-terang telah menunjukkan kebenciannya terhadap Islam dan umat Islam. Malah, semasa dalam proses menyediakan pasukan pentadbirannya, Trump telah mengumumkan akan melantik Leftenan Jeneral Bersara, Micheal Flynn sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan. Micheal Flynn merupakan seorang yang anti-Islam menyatakan secara terus-terang bahawa Islam adalah political ideology seumpama Kanser.

Sebenarnya siapa pun yang menjadi Presiden Amerika, dasarnya keatas dunia Islam tetap sama iaitu menindas dan masuk campur dalam urusan umat Islam. Mungkin bezanya dengan Donald Trump dan Micheal Flynn dengan pentadbiran Obama ialah Trump dan Flynn menzahirkan secara terus-terang permusuhan mereka terhadap Islam dan umat Islam. Manakala Obama dan ahli politik Demokrat lebih menggunakan pendekatan secara tidak berterus-terang, tetapi matlamat yang mereka ingin capai sama sahaja dengan apa yang dilakukan oleh ahli politik daripada parti Republikan. Dalam isu Syria sebagai contoh, Obama menunjukkan sokongan kepada Bashar Assad akan tetapi tidak mengumumnya secara berterus-terang, sebaliknya Obama mengatakan bahawa Bashar sudah tidak mempunyai masa depan lagi di Syria dan tidak perlu lagi berunding dengannya. Namun tidak lama kemudian Obama menyatakan Bashar boleh berunding dengannya dan tidak ada halangan untuk menyertai pilihanraya di Syria. Adapun Trump, secara langsung menyatakan bahawa Amerika perlu memberikan  sokongan kepada Bashar kerana Bashar sangat efektif untuk untuk memerangi pengganas di Syria.

Selain itu, dalam pada Obama menyatakan penentangannya terhadap serangan udara Rusia keatas Syria, namun hakikatnya Obama bergantung kepada Rusia untuk melakukan serangan secara brutal terhadap Syria untuk menjayakan agenda Amerika di Syria. Tetapi sebaliknya Trump, secara terus-terang memuji Presiden Putin dalam menyelesaikan krisis di Syria. Berbeza pendekatan, tetapi menpunyai matlamat yang sama antara Demokrat dan Republikan, juga dapat dilihat apabila Obama terpilih menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke 44 menggantikan George W.Bush. Ketika itu masyarakat diseluruh dunia termasuklah ramai umat Islam yang menaruh harapan agar dasar Amerika Syarikat dibawah pentadbiran Obama akan berubah ke arah yang lebih baik. Ini kerana Obama mempunyai latarbelakang yang dekat dengan Islam dan umat Islam. Ayahnya berbangsa Kenya yang beragama Islam dan Obama sendiri telah membesar selama beberapa tahun di negara paling ramai umat Islam iaitu Indonesia. Disamping itu, sebaik sahaja menduduki Rumah Putih, antara perkara yang dilakukan oleh Obama ialah mengadakan lawatan ke Mesir dan memberikan ucapan panjang lebar di Universiti Al-Azhar Kaherah yang dimulakan dengan ucapan assalaamualaikum. Antara intipati ucapan Obama ketika itu ialah menyeru kearah membuka lembaran baru yang lebih baik mengenai hubungan diantara Amerika Syarikat dengan negara-negara Islam.

Namun hakikatnya, itu hanyalah ucapan yang penuh dengan penipuan daripada seorang pemimpin negara kafir harbi!. Apa yang pasti, dasar luar Amerika Syarikat terhadap dunia Islam tidak pernah berubah, tidak kira siapa pun yang akan menjadi Presiden. Perubahan yang ada hanyalah dari segi pendekatan atau strategi bagaimana dasar luar tersebut dijalankan. Dibawah pentadbiran Obama, tidak ada pengurangan terhadap bajet ketenteraan pun bahkan ianya meningkatkan lagi bajet tersebut sebanyak dua kali ganda. Obama tetap meneruskan legasi kempen pentadbiran Bush ‘ war on terror’ tetapi mengubah pendekatan atau strategi agar matlamat Amerika daripada kempen tersebut dapat dicapai dengan kos yang minimun dan tidak menimbulkan banyak masalah kepada kepentingan Amerika.

Antara strategi yang digunakan oleh pentadbiran Obama ialah meningkatkan serangan menggunakan drone. Semasa pentadbiran Bush, Amerika telah melancarkan serangan menggunakan drone keatas empat buah negara umat Islam iaitu Afghanistan, Iraq, Pakistan dan Yemen. Manakala dibawah pentadbiran Obama serangan menggunakan drone diperluaskan kepada tujuh buah negara umat Islam termasuklah Somalia, Libya dan terbaru Syria. Selain itu, pentadbiran Obama menggunakan pendekatan menggunakan pasukan ketenteraan daripada negara lain untuk menjayakan agenda Amerika Syarikat. Tentera Pakistan misalnya, digunakan untuk memerangi Taliban dan tentera negara-negara Afrika digunakan untuk memerangi kebangkitan umat Islam di Somalia. Amerika semasa dibawah pentadbiran Obama juga telah berjaya menghimpunkan tentera daripada negara-negara umat Islam sendiri  untuk menyerang umat Islam di Yaman.

Oleh itu, sebenarnya tiada kelainan yang akan berlaku dalam dasar Amerika dibawah pentadbiran Trump terhadap umat Islam dan dunia Islam. Yang mungkin akan berubah adalah pada pendekatan yang akan digunakan bagi menjayakan dasar Amerika terhadap umat Islam dan negara-negara Islam. Dasar Amerika yang suka menindas dan masuk campur dalam hal ehwal umat Islam akan tetap diteruskan oleh pentadbiran Trump sama seperti pentadbiran Obama dan presiden-presiden Amerika Syarikat sebelumnya. Ini adalah satu hakikat yang sangat penting untuk disedari oleh umat Islam, yang berbeza adalah dari segi pendekatan yang digunakan oleh setiap Presiden Amerika dalam menjalankan dasar-dasar Amerika terhadap umat Islam dan dunia Islam.

Artikel Ini telah diterbitkan dalam Buletin Khaira Ummah Keluaran Disember 2016

Anda Mungkin Juga Meminati :

1. Syrian Uprising : Pentingnya Political Concepts


1 comment: