Thursday 7 September 2017

Rohingya Perlukan Pembelaan Daripada Siapa ?


Tekanan antarabangsa yang paling kuat boleh dilakukan oleh negara-negara umat Islam dalam Association of Southeast Asian Nation (ASEAN) khususya Malaysia, Indonesia dan Brunei  ke atas Myanmar bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai ethnik Rohingya adalah dengan memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar. Memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar bererti menutup sebarang rundingan secara langsung serta menamatkan sebarang kerjasama dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Ianya merupakan satu keputusan dasar hubungan luar negara yang sangat serius dan sudah pasti akan memberikan impak yang cukup besar bukan sahaja kepada kedua-dua pihak, malahan kepada keseluruhan negara di rantau Asia Tenggara. Selain akan menjejaskan hubungan dagangan dan sosial yang sedia wujud, ianya juga boleh menimbulkan keadaan yang tidak stabil di rantau Asia Tenggara. Satu bentuk pengorbanan yang sangat besar yang perlu dipikul oleh Malaysia, Indonesia mahupun Brunei jika ingin memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar demi membela nasib umat Islam Rohingya.
Jika ditinjau dari segi semangat ASEAN berdasarkan salah satu prinsip utamanya iaitu tidak mencampuri urusan dalaman sesama negara anggota. Tindakan mana-mana negara anggota ASEAN yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar kerana tidak bersetuju dengan cara yang dilakukan oleh pemerintah Myanmar dalam menyelesaikan masalah dalaman negara mereka sendiri merupakan tindakan yang boleh sahaja dianggap sebagai cubaan mencampuri urusan dalaman Myanmar. Satu tindakan yang jelas sekali melanggar prinsip utama ASEAN yang telah dipersetujui dan dijunjung bersama-sama oleh semua negara anggota ASEAN. Keadaan sedemikian sudah tentu akan menimbulkan rasa tidak senang kepada negara-negara anggota ASEAN yang lain kerana ianya boleh mengancam keutuhan ASEAN yang telah dibina sejak sekian lama.

Keutuhan ASEAN merupakan satu perkara yang sangat penting dalam dasar luar negara semua negara anggota ASEAN kerana ianya melibatkan banyak perkara yang penting seperti hubungan perdagangan, persempadanan, interaksi sosial, kerjasama serantau dan banyak lagi. Dengan kata lain negara-negara di Asia Tenggara memerlukan ASEAN untuk hidup secara harmoni dan saling menghormati. Oleh itu, semua negara anggota ASEAN sudah pasti akan meletakkan keutamaan yang sangat tinggi dalam menjaga keutuhan ASEAN dengan cara berpegang dan menghormati prinsip-prinsip utama ASEAN. Maka sebab itu, pemimpin negara Malaysia dan Indonesia secara terus terang menyatakan pendirian bahawa mereka tidak akan memutuskan hubungan diplomatik dengan kerajaan Myanmar walaupun bersimpati dengan nasib umat Islam Rohingya yang dibunuh dengan kejam oleh tentera Myanmar. Namun demikian, Indonesia melalui Presidennya menyatakan bahawa kerajaan Indonesia berkomitmen untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada umat Islam Rohingya disamping terus melakukan dialog dengan pemerintah Myanmar agar bantuan kemanusiaan daripada Indonesia dapat disalurkan kepada umat Islam Rohingya yang telah menjadi mangsa kekejaman tentera Myanmar. Langkah tersebut menurut beliau lebih praktikal berbanding dengan hanya melakukan kecaman.

Begitu juga dengan pendirian Malaysia yang telah dinyatakan oleh Timbalan Menteri Luar nya bahawa dengan adanya hubungan diplomatik dengan Myanmar, Malaysia telah berjaya menghantar bantuan kemanusiaan iaitu Food Flotilla For Myanmar (FFM) pada bulan Februari yang lalu kepada kerajaan Myanmar dengan harapan kerajaan Myanmar akan memberikan bantuan tersebut kepada umat Islam Rohingya yang berada di Rakhine. Adakah bantuan tersebut telah diserahkan oleh kerajaan Myanmar kepada umat Islam Rohingya di Rakhine  yang telah mereka bunuh dengan kejam ? Sukar untuk dipastikan kerana ianya bergantung sepenuhnya kepada budibicara kerajaan Myanmar sendiri. Apa yang pasti 6 bulan selepas misi bantuan tersebut tentera Myanmar melakukan pembunuhan beramai-beramai semula dengan lebih kejam lagi. Malaysia juga menurut beliau akan menggunakan platform antarabangsa untuk mendesak kerajaan Myanmar mengambil langkah sewajarnya bagi menghentikan kekejaman terhadap umat Islam Rohingya.

Kesungguhan dan keupayaan Organization of Islamic Cooperation (OIC) yang juga terdiri daripada negara-negara Arab dan Tuki dalam membela nasib umat Islam yang ditindas dapat dinilai dengan jelas berdasarkan kezaliman yang menimpa umat Islam di Palestin dan Syria. Sama ada OIC akan membela nasib umat Islam Rohinya atau tidak, lihat sahaja bagaimana pertubuhan dan negara-negara tersebut membela nasib umat Islam di Palestin dan Syria. Sudah beratus ribu darah umat Islam ditumpahkan dengan kejam diatas tanah suci Palestin sejak Zionis Yahudi menjajah tanah suci Palestin. Penjajahan yang sudah berlangsung lebih daripada 50 tahun telah menyaksikan bermacam-macam pengkhianatan dan sandiwara daripada pemimpin-pemimpin arab dan turki ke atas umat Islam Palestin. Mereka hanya sibuk bersidang dan mengeluarkan ucapan yang berapi tetapi mereka hanya berpeluk tubuh apabila zionis yahudi membunuh dan memusnahkan rumah serta harta benda umat Islam Palestin. Tidak pernah sekali pun kekuatan ketenteraan di hantar bagi membebaskan tanah Palestin daripada penjajahan zionis yahudi. Apa yang dilakukan setiap kali selepas zioinis yahudi puas membunuh dan menghancurkan kediaman umat Islam Palestin ialah menghulurkan bantuan makanan dan ubat-ubatan. Kemudian memberikan amaran demi amaran kepada zionis yahudi. Amaran yang sedikit pun tidak menggentarkan zionis yahudi dari terus melakukan kekejaman ke atas umat Islam Palestin kerana zionis yahudi tahu bahawa para pemimpin umat Islam yang ada pada hari ini kesemuanya berada dalam cengkaman kuasa besar khususnya Amerika Syarikat.

Begitu juga dengan nasib umat Islam di Syria yang hanya beberapa kilometer daripada negara-negara arab dan Turki. Bukan sahaja sudah terpampang dengan jelas di hadapan mata mereka kekejaman yang dilakukan oleh rejim Assad dengan bantuan Russia ke atas umat Islam Syria, malahan dentuman bom dan tembakkan boleh menganggu tidur mereka kerana dekatnya kedudukan umat Islam Syria yang dibunuh dengan kediaman mereka. Tetapi seperti mana mereka membiarkan umat Islam Palestin terus dizalimi oleh zionis yahudi, begitu jugalah mereka membiarkan umat Islam Syria terus dizalimi dan dibunuh. Ironinya dalam konflik yang berlaku di Yaman, satu pakatan ketenteraan yang dikenali sebagai Gulf Cooperation Council (GCC) yang terdiri daripada 10 negara umat Islam (Maghribi, UAE, Kuwait, Bahrain, Jordan, Qatar, Pakistan, Mesir, Sudan dan Arab Saudi) telah ditubuhkan untuk melancarkan serang udara keatas kumpulan Houthi di Yaman. Malahan, pengisytiharan serang  tersebut telah dilakukan dari Washington oleh Duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat iaitu Adel al-Jubier.

Begitu juga dengan sikap Presiden Turki iaitu Erdogan ketika rejim Bashar dan Russia melakukan operasi pengeboman besar-besaran ke atas Aleppo, Erdogan telah merencanakan Operation Euphrates Shield yang secara tidak langsung telah membantu memudahkan rejim Bashar Assad menawan Aleppo. Hal ini demikian kerana, Operation Euphrates Shield telah menyebabkan pertahanan kumpulan-kumpulan mujahidin di Aleppo menjadi lemah ekoran kumpulan-kumpulan mujahidin yang dipengaruhi oleh Turki telah meninggalkan Aleppo untuk membantu pasukan tentera Turki dalam Operation Euphrates Shield bagi menentang ISIS dan Kurdis. Operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh Presiden Erdorgan pada ketika rejim Bashar Assad sedang melancarkan operasi bagi menawan bandar Aleppo.

Apabila Amerika Syarikat menyerang Iraq secara besar-besaran pada tahun 2003, bukan pembelaan yang diberikan oleh negara-nagara Arab dan Turki  kepada umat Islam di Iraq, tetapi bantuan logistik yang diberikan kepada Amerika untuk menyerang Iraq. Dianggarkan lebih kurang 500,000 umat Islam yang terkorban sejak Amerika menyerang Iraq dan kini Iraq menjadi sebuah negara berada dalam keadaan yang kucar-kacir. Begitu juga dengan nasib yang menimpa umat Islam di Afganistan apabila turut diserang oleh Amerika pada tahun 2001. Hakikatnya, Amerika tidak akan dengan mudah akan dapat menyerang kedua-dua negara tersebut jika tidak mendapat bantuan logistik dan pangkalan ketenteraan daripada negara-negara Arab khususnya daripada Arab Saudi.

Jika begitulah pengkhianatan yang telah dilakukan oleh pemimpin arab dan tukri keatas umat Islam di Palestin dan Syria, jadi bagaimana OIC, negara-negara Arab dan Turki boleh diharapkan untuk membela umat Islam Rohingya yang dizalimi oleh tentera Myanmar? Jika umat Islam mengharapkan pula kepada PBB (Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu) untuk membela, maka sama sahaja seperti mengharapkan Amerika Syarikat yang sentiasa dahagakan darah umat Islam untuk melakukan pembelaan. Sungguh menyedihkan dengan sekian banyaknya bukti yang menunjukkan bahawa PBB adalah kuda tunggang Amerika, namun masih ada umat Islam yang masih membutakan mata dan memekakkan telinga sehingga masih berharap pada PBB. Tentunya satu persoalan yang sangat sukar untuk difahami mengapa umat Islam masih tidak ingin membebaskan pemikiran mereka daripada terus dibelenggu ‘penjajahan’. Sehinggakan walaupun sudah sekian banyak bukti yang jelas menunjukkan bahawa ASEAN, OIC dan PBB tidak akan dapat membela nasib umat Islam yang dizalimi, tetapi masih tetap meletakkan harapan. Bahkan sesetengah pihak dengan giat menggunakan platform tersebut untuk memberikan harapan kepada umat Islam bahawa dengan menggunakan platform antarabangsa tersebut nasib umat Islam dapat dibela.

Sedarlah wahai umat Islam, bukan bantuan makanan dan perubatan yang dapat membebaskan umat Islam Rohingya daripada terus dizalimi oleh tentera Myanmar. Tetapi mereka memerlukan pembelaan ketenteraan daripada negara-negara umat Islam, pembelaan yang sama diperlukan oleh umat Islam di Palestin, Syria dan di mana sahaja umat Islam dizalimi. Hanya dengan adanya Daulah Khilafah yang dirikan atas minhaaj kenabian yang akan mengerakkan tentera umat Islam untuk berjihad membela umat Islam yang tertindas. Selagi tiadanya Daulah Khilafah, maka selagi itulah kita akan menyaksikan kezaliman demi kezaliman akan terus menimpa umat Islam. Oleh itu umat Islam di seluruh dunia perlu sama-sama mengembeling tenaga untuk menegakkan semula Daulah Khilafah. Menegakkan semula Daulah Khilafah adalah satu kefarduan bagi umat Islam dan tegakknya semula Khilafah adalah janji Allah SWT dan RasulNya.

“..... Kemudian, datanglah masa Khilafah ‘ala Minhaaj al-Nubuwwah (Khilafah yang berjalan di atas kenabian). Setelah itu, beliau diam".[HR. Imam Ahmad]

Anda Mungkin Juga Meminati :

Wednesday 30 August 2017

Malaysia Menuju PRU14: Bersendirian Atau Bekerjasama ?


Jika pertandingan tiga penjuru terjadi dalam PRU14, ianya sudah pasti akan memberikan sedikit kelebihan kepada Barisan Nasional (BN). Perkara ini merupakan satu hakikat yang memang disedari oleh kedua-dua pihak sama ada pihak Barisan Nasional sebagai parti yang ingin mengekalkan kuasa mahupun pihak pembangkang. Oleh itu, BN yang kini diketuai oleh Dato Seri Najib sudah tentu sangat menginginkan agar pertandingan tiga penjuru benar-benar terjadi dalam PRU14 yang akan datang. Ini kerana, berlakunya pertandingan tiga penjuru merupakan petunjuk bahawa pakatan pembangkang tidak bersatu secara kukuh dan ianya sudah tentu akan memberikan kelebihan kepada BN.


Halangan utama untuk barisan pembangkang membentuk pakatan yang kukuh bagi menghadapi BN dalam PRU14 adalah kerana parti PAS ketika ini tidak berada dalam pakatan yang sama dengan pembangkang. PAS masih lagi mengambil sikap untuk bersendirian, tidak bersama BN dan tidak juga bersama Pakatan Harapan (PH). Namun, PAS juga sedar bahawa bersendirian dalam mengahadapi PRU14 bukanlah strategi yang tepat. Oleh itu, dapat diperhatikan masih ada usaha-usaha yang lakukan oleh kepimpinan PAS untuk menetapkan posisi mereka, sama ada akan bersama BN ataupun PH. Jika PAS berada bersama-sama dengan PH sehingga wujud kesepakatan satu lawan satu di antara  PH dengan BN, maka sudah tentu peluang kemenangan akan berpihak kepada PH.


Oleh itu, Dato Seri Najib dan para pemimpin BN sudah tentu akan berusaha untuk menghalang PAS daripada menyertai atau bekerjasama dengan PH. Namun begitu, BN juga pada hakikatnya tidak ingin PAS bergabung menyertai BN kerana akan menimbulkan masalah besar dari segi pembahagian kerusi dan juga adanya perbezaan ideologi perjuangan. Secara idealnya, BN akan mendapat kelebihan yang besar dalam PRU14 jika PAS kekal dengan pendirian sekarang iaitu bersendirian agar pertembungan tiga penjuru akan terjadi dalam PRU14. Dengan kata lain, BN hanya memerlukan PAS untuk melemahkan barisan pembangkang bukan untuk menguatkan BN.  


Sebelum ini, masih ada usaha yang dilakukan oleh pimpinan PKR untuk mendekati PAS agar kerjasamsa bagi menghadapi PRU14 dapat dilakukan. Namun baru-baru ini, pimpinan PH termasuklah pimpinan PKR akhirnya telah membuat keputusan sebulat suara untuk tidak bekerjasama dengan PAS dan bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru dalamPRU14. Pendirian tersebut terpaksa diambil mungkin kerana pimpinan PH menjangkakan PRU14 sudah semakin hampir dan perlu ada satu halatuju yang jelas bagi mudahkan strategi dapat disusun dengan lebih berkesan. Dengan kata lain, Pakatan Harapan sudah membuat keputusan untuk menghadapi kemungkinan berlakunya pertandingan 3 penjuru diantara 3 pihak yang berpengaruh iaitu BN, PH dan PAS.


Dalam keadaan sedemikian, PAS sudah tentu tidak ingin hanya menjadi pihak yang berperanan sebagai pemecah undi, sebaliknya PAS juga inginkan kemenangan. Namun ianya tentu sahaja  sukar dan mencabar kerana taburan pengundi hampir di setiap kerusi sama ada DUN mahupun Parlimen terdiri daripada pelbagai pengundi yang mempunyai sokongan politik yang berbeza-beza. Maka sebab itu, sejak PRU yang pertama lagi pada tahun 1955, parti yang berjaya meraih menang kebanyakkannya adalah parti yang mengadakan kerjasama dengan parti-parti lain. Berdasarkan rekod sepanjang PRU sebelum ini, PAS  mencapai kemenangan yang lebih baik apabila menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain berbanding bertanding secara bersendirian. Inilah hakikatnya lanskap politik demokrasi di Malaysia yang mesti diakui jika ingin mencapai kemenangan dalam PRU.


Oleh sebab itu, mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk memegang tampuk pemerintahan tidak boleh berkeras atau bertegas dengan prinsip perjuangan parti masing-masing, mesti ada sikap tolak ansur dan membuat keputusan bersama-sama secara konsensus. Sikap sedemikianlah yang selama ini diamalkan dalam BN dan begitu jugalah apa yang sedang diamalkan dalam PH ketika ini. Parti Amanah Negara (PAN) walaupun terdiri daripada ramai pemimpinya yang mempunyai latar belakang sebagai pejuang Islam, namun mereka harus mengikut rentak perjuangan yang di persetujui secara bersama-sama oleh PKR, DAP dan PBBM. Oleh itu, mereka tidak mempunyai pilihan lain melainkan perlu mengkompromikan Islam yang ingin mereka perjuangkan dengan perjuangan yang dibawah oleh PKR, DAP dan PBBM.


Maka, bagi PAS, pilihan yang ada adalah sama ada berjuang secara bersendirian atau berkejasama dengan parti-parti yang lain bergantung kepada risiko mana yang ingin diambil. Jika bertanding secara bersendirian, risikonya adalah akan kalah dikebanyakkan kerusi yang telah dimenangi sebelum ini bahkan cengkaman ke atas negeri Kelantan juga berisiko untuk terlepas. Sebaliknya, menjalinkan kerjasama dengan parti-parti politik lain, maka mesti bersedia untuk bertolak ansur dengan prinsip perjuangan. Itu sahajalah pilihan yang ada dalam lanskap politik pilihanraya-demokrasi di Malaysia.


Anda Mungkin Juga Meminati :

Wednesday 23 August 2017

BREXIT : Hadiah Buat Warga United Kingdom ?


Keputusan United Kingdom (UK) untuk keluar daripada Kesatuan Eropah(EU) pada Mac 2019 adalah hasil daripada keputusan pungutan suara yang telah dijalankan pada tahun 2016. Hasil pungutan suara tersebut mendapati majoriti warganegara UK iaitu kira-kira 52% telah memilih untuk meninggalkan EU, satu keputusan yang dianggap memeranjatkan bagi banyak pihak. Apatah lagi, pihak yang berkempen agar UK perlu kekal dalam EU adalah perdana Menteri Britain sendiri iaitu David Cameron. Manakala pihak yang mengetuai kempen agar UK keluar dari EU adalah Boris Johnson yang juga merupakan agggota Parti Konservatif pimpinan David Cameron. Namun, kempen untuk UK keluar dari EU telah di semarakkan oleh  Nigel Farage yang merupakan ketua parti  UK Independence Party (UKIP). Gerak kerja kempen Nigel Farage sebenarnya yang telah memberikan sumbangan besar kepada kejayaan UK keluar daripada EU.


Keputusan untuk UK keluar daripada EU yang kini dikenali sebagai Brexit telah membuka perbincangan yang sangat luas di negara-negara eropah khususnya di dalam UK sendiri. Tidak terkecuali juga kepada negara-negara lain termasuklah Malaysia. Fokus utama perbincangan tentulah kepada perkara yang berkaitan dengan kesan Brexit kepada UK, EU dan seterusnya kepada-negara lain. Ini kerana EU yang terdiri daripada 28 buah negara Eropah merupakan satu kerjasama ekonomi yang sangat komprehensif mempunyai pengaruh yang sangat signifikan dalam pentas politik dan ekonomi dunia. Jadi, sebarang perubahan yang berlaku ke atas EU tentunya secara tidak langsung akan turut memberi kesan kepada kebanyakkan negara lain.



Pungutan suara (Referendum) sama ada UK kekal (Remain) atau  keluar (Leave) dari EU diadakan kerana ianya merupakan salah satu janji pilihan raya oleh Parti Kenservatif yang diketuai oleh David Cammeron. Dalam piliharaya umum 2015 David Cameron telah memberikan janji kepada warga UK bahawa satu referundum mengenai kedudukan UK dalam EU akan diadakan sekiranya parti konservatif menang dalam piliharaya umum. Janji tersebut dijadikan bahan untuk meraih undi kerana pada ketika itu, rata-rata warga UK kurang senang dengan keadaan di mana UK terpaksa menanggung banyak beban daripada anggota EU yang sedang dilanda masalah akibat krisis ekonomi.

Krisis ekonomi yang bermula pada tahun 2008 telah menjejaskan ekonomi kebanyakkan negara anggota EU. Ini menyebabkan ramai yang telah migrate ke negara EU yang lain khususnya UK bagi mencari pekerjaan. UK tidak boleh menghalang  atau menutup sempadannya daripada kemasukkan imigran daripada anggota EU kerana ianya merupakan salah satu persetujuan yang termaktub dalam Perlembagaan EU. Kemasukkan beramai-ramai golongan imigran dari negara anggota EU ke UK bukan sahaja menjejaskan peluang pekerjaan warga UK, tetapi juga kerajaan UK terpaksa menanggung perbelanjaan yang tinggi bagi menjaga kebajikan golongan imigran anggota negara EU yang telah bekerja dan menetap di UK.






Berdasarkan analisis pungutan suara yang telah dilakukan, secara umumnya golongan muda dan golongan tua mempunyai aspirasi yang jelas berbeza. Golongan muda yang kebanyakkannya menetap di kota London menginginkan agar UK kekal dalam UE, sebaliknya golongan tua majoritinya terkesan dengan semangat nasionalisme yang di semarakkan oleh kumpulan yang berkempen agar UK keluar dari EU. Slogan seperti ‘I want my country back’ telah berjaya  meniupkan semangat nasionalisme yang menunjukkan seolah-olah UK telah terjajah dalam EU.

Jika dilihat secara keseluruhan, UK sebenarnya mendapat banyak manfaat dalam EU dari segi kebebasan rakyatnya memasuki mana-mana negara EU untuk pelbagai tujuan seperti bekerja, melancong, bahkan menetap. Begitu juga dari segi peluang perdagangan, ianya memberikan banyak manfaat kepada UK, apatah lagi UK merupakan negara maju  yang mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam menentukan halatujuh EU.


Namun ternyata tiupan semangat nasionalisme berjaya menafikan aspirasi golongan muda warga UK yang lebih melihat jauh kehadapan berbanding golongan tua. Akhirnya, keputusan telah dilakukan, dimana UK akan keluar daripada EU, satu keputusan yang tidak boleh lagi ditarik balik. Oleh itu Perdana Menteri UK  yang baharu, Theresa Mary May telah melakukan langkah yang perlu iaitu mengadakan Pilihanraya Umum UK 2017.

Pilihanyara umum tersebut diadakan dengan harapan Parti Konservatif pimpinan Theresa Mary May akan mendapat kemenangan yang besar bagi membentuk kerajaan pemerintah yang kuat. Kerajaan yang kuat sangat penting dalam proses pemerintah UK melakukan rundingan kearah keluarnya UK dari EU. Namun, sekali lagi, keputusan pilihanraya tidak seperti yang diharapkan apabila Parti Konservatif pimpinan Theresa Mary May mengalami kekalahan yang lebih teruk. Ada analisis yang mengatakan, kekalahan tersebut berpunca daripada undi protes oleh golongan muda yang kecewa dengan Brexit.

Keadaan ini menyebabkan UK ketika ini berada dalam detik-detik yang sukar.

Anda Mungkin Juga Meminati

Monday 14 August 2017

MALAYSIA MENUJU PRU14: Bila Pru14 Akan Diadakan?

Berdasarkan Perlembagaan Malaysia, mandat Barisan Nasional yang diketuai oleh Dato Seri Najib sebagai Kerajaan Persekutuan hanya akan berakhir pada bulan Jun 2018. Manakala PRU14 perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas Parlimen bubar secara sendirinya. Oleh itu, secara teknikalnya PRU14 boleh diheret sehingga ke bulan Ogos 2018. Namun, perkara sedemikian belum pernah terjadi dalam sepanjang proses PRU di Malaysia sejak mencapai kemerdekaan. Sudah menjadi amalan kepada Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan Persekutuan akan mengistiharkan pembubaran parlimen lebih awal bagi membuka laluan kepada PRU diadakan. Ini kerana, perlembagaan juga memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk berbuat demikian.

Kelebihan ini sudah tentu akan digunakan dengan sebaiknya oleh Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen pada masa yang dirasakan akan memberikan kelebihan kepada partinya untuk memenangi semula PRU. Ini menyebabkan PRU dalam politik Malaysia menjadi ‘unik’ dengan terdapatnya unsur-unsur surprise dan suspense yang disulami dengan bermacam-macam gosip mengenai bilakah PRU akan diadakan. Namun secara umumnya pihak-pihak yang berkepentingan khususnya parti pembangkang akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan maklumat bagi mengetahui jarak waktu PRU diadakan. Mereka tentu sahaja akan sentiasa memantau gerak kerja agensi yang berkaitan khususnya SPR kerana daripada situ petunjuk PRU dapat diketahui.

Sebagai parti pemerintah yang ingin mengekalkan tampuk pemerintahan, sudah tentu Dato Seri Najib akan memilih untuk diadakan PRU pada masa potensi kemenangan berpihak kepadanya. Dalam konteks pilihanraya demokrasi, potensi kemenangan banyak bergantung kepada kekuatan parti politik membawa isu yang dapat menawan hati para pengundi. Tidak kira dimana pun pilihanraya demokrasi diadakan termasuklah di negara -negara maju yang menjadi contoh amalan demokrasi seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan negara-negara eropah yang lain, senjata utama yang akan dijadikan isu dalam kempen ialah menyerang kelemahan pihak lawan. 

Selain itu, sentiman wujudnya ancaman juga merupakan salah satu senjata yang sangat berkesan memberikan potensi kemenangan. Di barat, golongan imigran khususnya umat Islam sering dijadikan sebagai kelompok yang dipropagandakan memberikan ancaman kepada rakyat kehidupan masyarakat barat bagi mendapatkan undi daripada majoriti rakyat tempatan. Begitu juga dengan setiap kali PRU diadakan di India, kemarahan dan kebencian masyarakat hindu terhadap umat Islam sering di kobarkan bagi mendapatkan sokongan pengundi-pengundi hindu yang merupakan golongan majoriti di India.

Berdasarkan realiti semasa, banyak isu yang sedang berlaku dalam negara khususnya yang berkaitan dengan skandal 1MDB yang telah mencipta banyak isu hiliran seperti peningkatan hutang negara, kemasukkan pelaburan berskala besar dari negara China serta wujudnya persepsi yang kuat campurtangan politik terhadap institusi-institusi penting negara telah memberikan disadvantage kepada pentadbiran Dato Seri Najib.  Perkara ini tentu sahaja telah menyempitkan potensi kemenangan bagi Barisan Nasional pimpinan Dato Seri Najib. Selain itu, mencipta persengketaan dengan pemimpin yang sangat berpengalaman dan berpengaruh di negeri Sabah iaitu Dato Seri Shafie Apdal merupakan satu kesilapan besar. Pengaruh dan pengalaman yang dimiliki oleh Dato Seri Shafie Apdal terhadap selok belok politik di Sabah telah menjadikan Sabah bukan lagi negeri  yang menjadi fixed deposit kepada Barisan Nasional.

Jika sebelum ini, Barisan Nasional boleh memberikan fokus yang banyak untuk menawan negeri-negeri di semenanjung kerana tidak perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk mengekalkan cengkamannya terhadap Sabah. Kini keadaannya telah berubah dengan adanya gelombang politik baru yang dibawah oleh Parti Warisan pimpinan Dato Seri Shafie Apdal. Satu lagi cabaran baru yang menyempitkan lagi potensi kemenangan Barisan Nasional. Dalam masa yang sama, krisis yang menimpa organisasi yang sangat dekat dengan orang melayu iaitu FELDA telah membuka peluang kepada Parti Bersatu Pribumi meluaskan pengaruhnya ke dalam FELDA yang selama ini menjadi kubuh kuat UMNO.

Memang dapat dilihat dengan jelas bahawa Dato Seri Najib berusaha dengan bersungguh-sungguh melakukan bermacam-macam perkara agar Barisan Nasional dapat memenangi PRU14. Boleh dikatakan susuk tubuh Dato Seri Najib sentiasa ada di mana-mana, tanpa mengira siang atau malam, ada sahaja program atau aktiviti yang dihadiri beliau. Kesungguhan Dato Seri Najib berkerja siang dan malam, berkejar ke sana ke sini tentu sahaja kerana beliau sedar, beliau tidak boleh kalah dalam PRU14. Ada banyak konsekuensi yang tidak baik akan menimpa dirinya jika beliau hilang kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia. Beliau tidak mempunyai pilihan lain selain perlu kekal sebagai Perdana Menteri.

Berdasarkan perkembangan semasa, melambat-lambatkan PRU14 sebenarnya lebih banyak menguntungkan pihak pembangkang yang kini diketuai oleh Tun Mahadhir. Masa yang ada bukan sahaja dapat digunakan oleh pembangkang termasuklah gelombang politik baru di Sabah terus menerus menyerang pentadbiran Dato Seri Najib, tetapi juga telah memberi masa kepada parti-parti pembangkang mengukuhkan kesatuan mereka. Sebaliknya, semakin banyak pula kelemahan Barisan Nasional khususnya oleh pimpinan UMNO yang di perlihatkan kepada rakyat Malaysia. Persoalannya, jika demikian keadaannya mengapa Dato Seri Najib tidak membubarkan parlimen lebih awal?.

Apa yang pasti Dato Seri Najib hanya akan memberi ruang kepada PRU14 diadakan jika beliau merasakan beliau dapat mengekalkan kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dato Seri Najib tentu sahaja akan menggunakan apa sahaja peluang atau cara agar beliau kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia. Itulah keutamaan beliau, kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Anda Mungkin Meminati :




Tuesday 20 June 2017

Rintihan Umat Islam : Untuk Berapa Lama Lagi

Vedio Yang Seharusnya Dapat Membuka hati dan pemikiran untuk berfikir dengan lebih serious dengan nasib umat Islam.


Saturday 25 March 2017

Isu Pindaan Rang Undang-Undang Akta 355

Pada dasarnya, untuk membuat pindaan terhadap rang undang-undang yang sedia ada merupakan perkara biasa dan sering dilakukan dalam pentadbiran negara demokrasi seperti Malaysia. Secara prinsipnya, rang undang-undang sedia ada perlu dipinda agar ia terus relevan dengan keadaan dan perkembangan semasa. Akta 355 misalnya telah mengalami beberapa kali pindaan sejak mula dikanunkan pada tahun 1965 yang pada ketika itu dikenali sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh akta tersebut ketika itu  ialah denda RM1000 dan penjara 6 bulan.

Pindaan pertama terhadap Akta 355 telah dilakukan pada tahun 1984 dengan memberikan kuasa yang lebih tinggi kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman maksimum sehingga 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 kali sebatan. Akta tersebut kemudiannya dipinda sekali lagi pada tahun 1989 untuk diperluaskan penggunaannya ke Sabah dan Sarawak. Selepas itu, tiada lagi pindaan dilakukan untuk meningkatkan hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah. Ini bermakna sudah lebih dari 30 tahun hukuman ‘Formula 356’ menjadi hukuman maksimum bagi ‘jenayah syariah’ di Malaysia.

Oleh itu, satu perkara yang wajar bagi pihak tertentu khususnya golongan akademik dan para pengamal undang-undang Syariah mengorak langkah bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah agar dapat menjatuhkan hukuman yang lebih berat terhadap ‘penjenayah syariah’ di Malaysia.  Hal ini demikian kerana, ramai pihak berpendapat bahawa hukuman ‘356’ terlalu ringan dan  sudah tidak berkesan lagi untuk menakutkan umat Islam di Malaysia daripada melakukan jenayah syariah.  Maka, pindaan terhadap Akta 355 perlu dilakukan bagi meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah yang sedia ada. Usaha ke arah untuk meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia telah pun dilakukan secara serius oleh Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan pada tahun 2014. Antara langkah awal yang perlu dilakukan oleh Jawatankuasa Teknikal bagi menjayakan usaha tersebut ialah menggesa agar Akta 355 dipinda.

Selari dengan banyak pindaan yang dilakukan terhadap akta-akta yang lain termasuklah pindaan terhadap Akta 355 sebelum ini, Jawatankuasa Teknikal mencadangkan agar usul pindaan terhadap Akta 355 dibawa oleh wakil daripada pihak kerajaan. Hal ini demikian kerana, ia sudah menjadi amalan biasa dalam  pentadbiran di Malaysia bahawa semua pindaan yang ingin dilakukan akan diusulkan oleh pihak kerajaan yang memerintah. Tidak pernah terjadi sebelum ini usul persendirian daripada pihak pembangkang dibenarkan untuk dibentangkan di parlimen, malah jauh sekali untuk diluluskan. Selain itu, sebarang pindaan terhadap akta yang sedia ada sekurang-kurangnya perlu mendapat sokongan/undi majoriti mudah di dewan rakyat sebelum diluluskan. Jadi, secara tidak langsung hanya parti yang menjadi kerajaan sahaja memiliki kelebihan tersebut, tidak pada parti pembangkang. Apatah lagi proses membawa sebarang usul untuk dibentangkan di parlimen bagi meminda mana-mana akta yang sedia ada dikawal sepenuhnya oleh menteri daripada parti yang memerintah.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa perlembagaan Malaysia memberi ruang kepada semua ahli parlimen parti pembangkang untuk membawa private bill (usul persendirian). Namun, ia perlu melalui dua proses di atas, iaitu diberi laluan oleh menteri parti pemerintah yang menyelia perjalanan parlimen dan mendapat sokongan sekurang-kurangnya majoriti mudah daripada ahli-ahli parlimen. Oleh sebab itu, sepanjang sejarah Malaysia belum pernah ada usul persendirian daripada pihak pembangkang dibenarkan untuk dibentangkan apatah lagi untuk diluluskan.

Justeru itu, apabila para menteri daripada UMNO selaku kerajaan memberi laluan dan sokongan kepada parti PAS selaku parti pembangkang membawa usul persendirian bagi meminda Akta 355 tentunya menimbulkan banyak persoalan. Ditambah pula wujudnya tuntutan percaturan politik yang sangat crucial di antara parti-parti politik di Malaysia menuju ke PRU14. Masing-masing mempunyai agenda dan matlamat politik yang sangat penting untuk dicapai dalam PRU14 nanti.

Dalam hal ini, umat Islam seharusnya melihat persoalan mengenai isu pindaan Akta 355 dengan skop yang lebih luas agar umat Islam tidak diberikan harapan palsu dan turut diheret ke dalam perbalahan yang tidak jelas hujung pangkalnya kerana perbezaan sudut pandang terhadap perkara yang sama iaitu pindaan Akta 355. Ada pihak yang melihat bahawa pindaan terhadap Akta 355 adalah roadmap ke arah terlaksananya hudud, maka siapa yang menentangnya sama seperti menentang hukum hudud. Sebaliknya ada pula pihak yang melihat bahawa Akta 355 tiada kena mengena dengan hukum hudud, ia hanyalah pindaan biasa terhadap akta yang
sedia ada.

Sebenarnya, perbezaan sudut pandang tersebut timbul disebabkan oleh rekaan (design) struktur undang-undang tertinggi Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan yang direka oleh Suruhanjaya Lord Reid telah meletakkan asas-asas yang kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin keluhuran dan kelangsungan undang-undang ciptaan British sebelum Tanah Melayu diberikan kemerdekaan. Oleh itu, sebarang penggubalan undang-undang baharu atau pindaan terhadap undang-undang yang sedia ada, ia tidak boleh keluar daripada asas-asas yang kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin keluhuran dan kelangsungan undang-undang ciptaan British sebelum Tanah Melayu diberikan kemerdekaan.

Dengan kata lain, apa jua niat murni umat Islam seperti ingin menjadikan hukum hudud sebagai undang-undang negara, maka ia perlu mengikuti panduan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Reid. Sebarang perbezaan pendapat atau pertelingkahan yang timbul dalam usaha untuk menerapkan hudud harus dikembalikan kepada kitab yang telah ditinggalkan oleh Suruhanjaya Reid iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Suruhanjaya Reid juga telah meletakkan asas bahawa mana-mana undang-undang yang ingin digubal atau dipinda, maka ia perlu melalui proses perdebatan di kalangan ahli-ahli parlimen sebelum diluluskan. Setiap ahli parlimen sama ada orang Islam atau non-muslim berhak untuk mempersoalkan atau mempertikaikan mana-mana undang-undang yang ingin digubal atau dipinda. Seterusnya, pindaan tersebut perlu mendapat persetujuan daripada ahli-ahli parlimen sebelum ia diluluskan. Inilah hakikat yang harus disedari dan difahami dengan jelas apabila hukum Allah SWT seperti Hudud ingin diterapkan mengikut manhaj demokrasi.

Jalan yang benar untuk menerapkan hukum Hudud dan juga hukum-hukum Allah SWT yang lain akan dapat dilaksanakan secara sempurna jika dua elemen iaitu Kekuasaan Di Tangan Umat (as-Sulthan li al-Ummat) dan Kedaulatan Di Tangan Syarak (as-Siyadah li asy-Syar’i) berjaya dijadikan teras dalam pentadbiran sesebuah negara. Sesungguhnya, tiada bentuk sistem pemerintahan yang dapat mewujudkan kedua-dua elemen tersebut melainkan Sistem Pemerintahan Khilafah.

 Artikel Ini Diterbitkan Dalam Buletin Khairu Ummah Keluaran Feb 2017.

Anta Mungkin Juga Meminati :


Friday 10 February 2017

Bilakah Peperangan Di Syria Akan Berakhir?



Tiada manusia yang memiliki nilai kemanusiaan dalam dirinya suka melihat kemusnahan dan kematian terus berlaku di bumi Syria. Konflik berdarah di bumi Syria yang sudah berlanjutan lebih dari lima tahun telah mengorbankan ratusan ribu nyawa dan sebahagian besar rakyat Syria kini hidup sebagai pelarian. Jika masyarakat luar yang hanya menyaksikan melalui media massa penderitaan dan kesengsaraan hidup yang sedang dialami oleh rakyat Syria sangat mengharapkan agar peperangan di Syria perlu dihentikan dengan segera, maka sudah tentu  rakyat Syria yang menghadapi sendiri kematian anggota keluarga, kemusnahan tempat tinggal, ketiadaan makanan dan sebagainya akibat peperangan, ingin sekali agar peperangan segera dihentikan.

Persoalannya adalah bagaimana ia harus dihentikan? Adakah dengan cara seperti yang diinginkan oleh kuasa-kuasa kuffar barat khususnya Amerika Syarikat, Eropah dan Rusia atau kebangkitan umat Islam Syria berakhir dengan kemenangan mereka menjatuhkan rejim Bashar Assad dan seterusnya membentuk semula Syria dengan sistem pentadbiran Islam? Hakikatnya, pertembungan antara perancangan barat dan aspirasi umat Islam Syria merupakan punca utama mengapa peperangan di Syria masih berlanjutan sehingga kini.

Apabila peperangan di Syria mula meletus akibat tindakan kejam yang dilakukan oleh rejim Bashar Assad untuk menghentikan kebangkitan umat Islam Syria sudah tidak dapat dikawal lagi oleh rejim Bashar Assad sendiri, maka negara-negara kuffar barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat mula melakukan pelbagai percaturan politik dalam konflik di Syria. Kuasa-kuasa kuffar barat dengan sokongan dan bantuan daripada Arab Saudi, Qatar dan Turki telah cuba untuk mewujudkan kerajaan baharu bagi menggantikan rejim Bashar Assad. Satu bentuk percaturan yang telah berjaya dilakukan oleh kuffar barat ketika menghentikan gelombang Arab Spring di Tunisia, Libya dan Mesir.  Rejim lama dijatuhkan dan kemudian diangkat pemimpin boneka yang membawa dasar pemerintahan berdasarkan acuan kuasa-kuasa kuffar barat. Jika umat Islam Syria menerima acuan tersebut seperti mana yang telah dilakukan oleh umat Islam di Tunisia, Libya dan Mesir, nescaya peperangan di Syria sudah lama berakhir.

Rejim Bashar Assad hakikatnya sama sahaja dengan rejim-rejim yang lain seperti Hosni Mubarak, Gaddafi dan Ben Ali. Mereka akan dibuang oleh kuffar barat dengan mudah jika khidmat mereka sudah tidak diperlukan lagi. Namun disebabkan perancangan kuasa-kuasa kuffar barat untuk menamatkan kebangkitan umat Islam Syria tidak berjaya walaupun pelbagai percaturan politik yang turut dibantu oleh pemimpin Turki, Arab Saudi dan Qatar telah dilakukan, maka khidmat Bashar Assad bukan sahaja masih diperlukan oleh kuffar barat untuk menjayakan agenda mereka, tetapi juga khidmat Bashar Assad sangat diperlukan untuk menghalang usaha umat Islam Syria membentuk semula negara Syria dengan sistem pentadbiran Islam.

Keinginan umat Islam di Syria yang tinggi untuk membentuk semula Syria dengan sistem Islam dapat dilihat daripada kesungguhan mereka menolak segala perancangan dan percaturan yang dilakukan oleh kuffar barat. Perancangan kuasa-kuasa kuffar barat untuk membentuk kerajaan baharu bagi menggantikan rejim Bashar Assad melalui pelbagai siri rundingan seperti Rundingan Geneva I dan Geneva II telah menemui jalan buntu kerana ditolak oleh umat Islam Syria. Syrian National Council (SNC) dan Free Syrian Army (FSA) yang silih berganti diterajui oleh beberapa orang pemimpin yang cuba ditokohkan oleh kuffar barat bagi menerajui kerajaan baharu yang dirancang oleh mereka juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak mendapat sokongan yang kuat daripada umat Islam Syria. Umat Islam Syria menyedari bahawa SNC dan FSA hanyalah boneka yang digunakan untuk menjayakan perancangan kuasa-kuasa kuffar barat di Syria.

Oleh itu segala kesepakatan yang dicapai dalam beberapa rundingan khususnya dalam Rundingan Geneva I dan II yang diketuai oleh Amerika Syarikat tidak mempunyai sebarang makna kepada usaha untuk membentuk kerajaan baharu bagi menggantikan rejim Bashar Assad kerana tidak diiktiraf dan tidak dipedulikan oleh kumpulan-kumpulan mujahidin. Harus difahami bahawa, kumpulan-kumpulan mujahidin yang berperang menentang rejim Bashar Assad merupakan pihak utama yang mewakili aspirasi umat Islam Syria, bukannya SNC mahupun FSA. Oleh sebab itu, apabila SNC dan FSA telah gagal dipergunakan oleh kuasa-kuasa kuffar barat untuk membentuk kerajaan baharu bagi mengantikan rejim Bashar Assad, maka sekutu-sekutu kufar barat daripada kalangan negara umat Islam sendiri seperti Arab Saudi, Turki dan Qatar telah mengambil langkah menyalurkan bantuan kewangan dan persenjataan kepada beberapa kumpulan mujahidin. Langkah tersebut dilalukan dengan tujuan untuk mempengaruhi kumpulan-kumpulan mujahidin yang berperang menentang rejim Bashar Assad. Pengaruh yang cuba ditanamkan oleh Arab Saudi, Turki dan Qatar dalam beberapa kumpulan mujahidin bukan sahaja bertujuan untuk membina kekuatan dalam kumpulan mujahidin yang akan membawa percaturan mereka tetapi juga bertujuan untuk memecah belahkan fokus perjuangan kumpulan-kumpulan mujahidin.

Keadaan ini bukan sahaja telah menyebabkan kumpulan-kumpulan mujahidin terpaksa disibukkan dengan konflik dalaman sehingga membawa kepada proses reform dan regroup yang sangat kerap tetapi juga telah memberi ruang kepada rejim Bashar Assad untuk mengatur dan membentuk semula kekuatan tenteranya. Pada masa yang sama, kewujudan ISIS telah menyebabkan keadaan kumpulan-kumpulan mujahidin menjadi semakin tersepit. Sepanjang kewujudan ISIS dalam konflik di Syria, ia telah memberi banyak keuntungan kepada rejim Bashar Assad dan memberikan banyak masalah kepada kumpulan-kumpulan mujahidin yang menentang rejim Bashar Assad. Tindak-tanduk ISIS yang sangat teruja menayangkan kepada dunia sikap anarkis dan pembunuhan yang mereka lakukan ke atas orang awam, telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Bashar Assad dan Rusia untuk melakukan pengeboman secara besar-besaran di kawasan yang dikuasai oleh kumpulan-kumpuan mujahidin khususnya di Aleppo Timur. Ironinya, kawasan yang dikuasai ISIS di sempadan Syria-Iraq tidak menjadi sasaran pengeboman Rejim Bashar Assad dan Rusia.

Kejayaan strategi Arab Saudi, Turki dan Qatar menanamkan pengaruh dalam kumpulan-kumpulan mujahidin merupakan antara sebab Aleppo yang menjadi kubu kuat kumpulan-kumpulan mujahidin dapat ditawan oleh rejim Bashar Assad. Selain daripada pengeboman besar-besaran yang dilakukan oleh rejim Bashar Assad dan Rusia ke atas Aleppo, Operation Euphrates Shield yang direncanakan oleh Presiden Turki iaitu Erdogan telah membantu memudahkan rejim Bashar Assad menawan Aleppo. Hal ini demikian kerana, Operation Euphrates Shield telah menyebabkan pertahanan kumpulan-kumpulan mujahidin di Aleppo menjadi lemah ekoran kumpulan-kumpulan mujahidin yang dipengaruhi oleh Turki telah meninggalkan Aleppo untuk membantu pasukan tentera Turki dalam Operation Euphrates Shield bagi menentang ISIS dan Kurdis. Operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh Presiden Erdorgan pada ketika rejim Bashar Assad sedang melancarkan operasi bagi menawan bandar Aleppo.

Harus difahami bahawa walaupun Aleppo telah ditawan oleh rejim Bashar Assad dan ramai tentera kumpulan-kumpulan mujahidin yang telah terkorban, namun ia bukanlah pengakhiran kepada kebangkitan umat Islam Syria, sebaliknya ia merupakan satu fasa baru dalam perjuangan menjatuhkan rejim Bashar Assad dan seterusnya membangunkan semula Syria dengan sistem pentadbiran Islam. Peristiwa kejatuhan Aleppo telah membuktikan bahawa umat Islam Syria sebenarnya sedang diperangi oleh kuasa-kuasa kuffar barat khususnya Amerika Syarikat, Rusia dan Eropah. Kuasa-kuasa kuffar barat akan melakukan apa sahaja termasuklah membantu rejim Bashar Assad melakukan pembunuhan besar-besaran dan memusnahkan harta benda bagi menghalang kebangkitan umat Islam. Selain itu, peristiwa kejatuhan Aleppo juga telah mendedahkan wajah sebenar pemimpin Turki, Arab Saudi dan Qatar yang sebenarnya merupakan tali barut kepada kuasa-kuasa kuffar barat.

Peperangan di Syria akan terus berlanjutan sehinggalah salah satu pihak berjaya mencapai kemenangan. Jika kuasa-kuasa kuffar barat yang dibantu oleh Turki, Arab Saudi dan Qatar berjaya menamatkan peperangan di Syria dengan membentuk kerajaan berdasarkan acuan mereka, ini bererti aspirasi umat Islam Syria untuk membangunkan semua Syria berdasarkan pemerintahan Islam gagal dikecapi. Bagi umat Islam yang berada di luar Syria termasuklah di Malaysia perlu menyedari bahawa kemenangan umat Islam Syria membangunkan semula Syria berdasarkan sistem pemerintahan Islam adalah merupakan kemenangan bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia. Sebaliknya, jika kuasa-kuasa kuffar barat berjaya mengakhiri peperangan di Syria berdasarkan acuan mereka, maka ia bukan hanya merupakan kekalahan kepada umat Islam Syria, tetapi juga merupakan kekalahan kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Artikel Ini Diterbitkan Dalam Buletin Khairu Ummah Keluaran Jan 2017

Anda Mungkin Juga Meminati

1. Rundingan Geneva II : Apa Yang Perlu Di Fahami  

Thursday 9 February 2017

Adakah Trump Akan Memerangi Islam?

Kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-45 dalam pilihanraya Amerika baru-baru ini, telah menimbulkan keresahan kepada banyak pihak termasuklah kepada umat Islam di seluruh dunia. Ini kerana antara isu yang dibangkitkan oleh Trump semasa kempennya ialah akan melaksanakan dasar-dasar yang tidak mesra terhadap umat Islam. Trump semasa kempennya secara berterus-terang telah menunjukkan kebenciannya terhadap Islam dan umat Islam. Malah, semasa dalam proses menyediakan pasukan pentadbirannya, Trump telah mengumumkan akan melantik Leftenan Jeneral Bersara, Micheal Flynn sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan. Micheal Flynn merupakan seorang yang anti-Islam menyatakan secara terus-terang bahawa Islam adalah political ideology seumpama Kanser.

Sebenarnya siapa pun yang menjadi Presiden Amerika, dasarnya keatas dunia Islam tetap sama iaitu menindas dan masuk campur dalam urusan umat Islam. Mungkin bezanya dengan Donald Trump dan Micheal Flynn dengan pentadbiran Obama ialah Trump dan Flynn menzahirkan secara terus-terang permusuhan mereka terhadap Islam dan umat Islam. Manakala Obama dan ahli politik Demokrat lebih menggunakan pendekatan secara tidak berterus-terang, tetapi matlamat yang mereka ingin capai sama sahaja dengan apa yang dilakukan oleh ahli politik daripada parti Republikan. Dalam isu Syria sebagai contoh, Obama menunjukkan sokongan kepada Bashar Assad akan tetapi tidak mengumumnya secara berterus-terang, sebaliknya Obama mengatakan bahawa Bashar sudah tidak mempunyai masa depan lagi di Syria dan tidak perlu lagi berunding dengannya. Namun tidak lama kemudian Obama menyatakan Bashar boleh berunding dengannya dan tidak ada halangan untuk menyertai pilihanraya di Syria. Adapun Trump, secara langsung menyatakan bahawa Amerika perlu memberikan  sokongan kepada Bashar kerana Bashar sangat efektif untuk untuk memerangi pengganas di Syria.

Selain itu, dalam pada Obama menyatakan penentangannya terhadap serangan udara Rusia keatas Syria, namun hakikatnya Obama bergantung kepada Rusia untuk melakukan serangan secara brutal terhadap Syria untuk menjayakan agenda Amerika di Syria. Tetapi sebaliknya Trump, secara terus-terang memuji Presiden Putin dalam menyelesaikan krisis di Syria. Berbeza pendekatan, tetapi menpunyai matlamat yang sama antara Demokrat dan Republikan, juga dapat dilihat apabila Obama terpilih menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke 44 menggantikan George W.Bush. Ketika itu masyarakat diseluruh dunia termasuklah ramai umat Islam yang menaruh harapan agar dasar Amerika Syarikat dibawah pentadbiran Obama akan berubah ke arah yang lebih baik. Ini kerana Obama mempunyai latarbelakang yang dekat dengan Islam dan umat Islam. Ayahnya berbangsa Kenya yang beragama Islam dan Obama sendiri telah membesar selama beberapa tahun di negara paling ramai umat Islam iaitu Indonesia. Disamping itu, sebaik sahaja menduduki Rumah Putih, antara perkara yang dilakukan oleh Obama ialah mengadakan lawatan ke Mesir dan memberikan ucapan panjang lebar di Universiti Al-Azhar Kaherah yang dimulakan dengan ucapan assalaamualaikum. Antara intipati ucapan Obama ketika itu ialah menyeru kearah membuka lembaran baru yang lebih baik mengenai hubungan diantara Amerika Syarikat dengan negara-negara Islam.

Namun hakikatnya, itu hanyalah ucapan yang penuh dengan penipuan daripada seorang pemimpin negara kafir harbi!. Apa yang pasti, dasar luar Amerika Syarikat terhadap dunia Islam tidak pernah berubah, tidak kira siapa pun yang akan menjadi Presiden. Perubahan yang ada hanyalah dari segi pendekatan atau strategi bagaimana dasar luar tersebut dijalankan. Dibawah pentadbiran Obama, tidak ada pengurangan terhadap bajet ketenteraan pun bahkan ianya meningkatkan lagi bajet tersebut sebanyak dua kali ganda. Obama tetap meneruskan legasi kempen pentadbiran Bush ‘ war on terror’ tetapi mengubah pendekatan atau strategi agar matlamat Amerika daripada kempen tersebut dapat dicapai dengan kos yang minimun dan tidak menimbulkan banyak masalah kepada kepentingan Amerika.

Antara strategi yang digunakan oleh pentadbiran Obama ialah meningkatkan serangan menggunakan drone. Semasa pentadbiran Bush, Amerika telah melancarkan serangan menggunakan drone keatas empat buah negara umat Islam iaitu Afghanistan, Iraq, Pakistan dan Yemen. Manakala dibawah pentadbiran Obama serangan menggunakan drone diperluaskan kepada tujuh buah negara umat Islam termasuklah Somalia, Libya dan terbaru Syria. Selain itu, pentadbiran Obama menggunakan pendekatan menggunakan pasukan ketenteraan daripada negara lain untuk menjayakan agenda Amerika Syarikat. Tentera Pakistan misalnya, digunakan untuk memerangi Taliban dan tentera negara-negara Afrika digunakan untuk memerangi kebangkitan umat Islam di Somalia. Amerika semasa dibawah pentadbiran Obama juga telah berjaya menghimpunkan tentera daripada negara-negara umat Islam sendiri  untuk menyerang umat Islam di Yaman.

Oleh itu, sebenarnya tiada kelainan yang akan berlaku dalam dasar Amerika dibawah pentadbiran Trump terhadap umat Islam dan dunia Islam. Yang mungkin akan berubah adalah pada pendekatan yang akan digunakan bagi menjayakan dasar Amerika terhadap umat Islam dan negara-negara Islam. Dasar Amerika yang suka menindas dan masuk campur dalam hal ehwal umat Islam akan tetap diteruskan oleh pentadbiran Trump sama seperti pentadbiran Obama dan presiden-presiden Amerika Syarikat sebelumnya. Ini adalah satu hakikat yang sangat penting untuk disedari oleh umat Islam, yang berbeza adalah dari segi pendekatan yang digunakan oleh setiap Presiden Amerika dalam menjalankan dasar-dasar Amerika terhadap umat Islam dan dunia Islam.

Artikel Ini telah diterbitkan dalam Buletin Khaira Ummah Keluaran Disember 2016

Anda Mungkin Juga Meminati :

1. Syrian Uprising : Pentingnya Political Concepts