Wednesday 22 July 2015

Gerakan Harapan Baru (GHB)

Secara teknikalnya Gerakan Harapan Baru (GHB) memerlukan sokongan daripada ahli-ahli PAS untuk menjadi sebuah parti politik yang kuat.  Tanpa sokongan yang kuat daripada ahli-ahli PAS sendiri, nescaya perjuangan GHB sebagai sebuah parti politik tidak akan kemana dan akan berkubur dalam masa yang singkat. Dengan kata lain, demi untuk menjadi sebuah parti politik yang kuat, GHB tidak punya pilihan selain perlu menarik keluar ahli-ahli PAS untuk menyertai mereka.  Ini kerana walaupun GHB boleh menarik sokongan pengundi-pengundi atas pagar, namun hakikatnya mereka tetap memerlukan ahli-ahli yang berjiwa haraki untuk menjadi tulang belakang kepada gerak kerja perjuangan mereka. Sudah tentu, ahli-ahli PAS adalah merupakan golongan yang paling mereka harapkan dan bukannya ahli-ahli PKR mahupun DAP. Malahan PKR dan DAP sudah tentu tidak akan membenarkan ahli-ahli mereka untuk menyertai GHB, walaupun secara zahirnya PKR dan DAP menyokong perjuangan GHB.

Maka untuk menarik ahli-ahli PAS agar menyertai GHB, para penggerak GHB perlu berusaha untuk membuktikan bahawa pendekatan perjuangan yang dibawa oleh GHB adalah lebih cerah untuk memperolehi kemenangan berbanding dengan pendekatan yang dibawa oleh  PAS ketika ini. Kemenangan apa ??? Tentunya tidak lain tidak bukan melainkan kemenangan menawan pentadbiran Putrajaya daripada Barisan Nasional. Kemenangan menawan pentadbiran Putrajaya merupakan satu cita-cita agung Pakatan Rakyat yang sudah terlalu hampir untuk dikecapi pada PRU13 yang lepas, dan kini peluang tersebut semakin terbuka luas apabila komponen utama parti Barisan Nasional iaitu UMNO dan MIC kini sedang dilanda masalah dalaman yang sangat serious. Ditambah pula, banyak isu semasa seperti isu 1MDB, kejatuhan nilai ringgit dan lain-lain lagi telah memberikan banyak disadvantage kepada kerajaan Barisan Nasional.

Oleh itu, bagi DAP, PKR dan GHB peluang tersebut tidak boleh dipersia-siakan dan sebarang isu yang boleh menimbulkan konflik antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat perlu dihindari walaupun ianya merupakan isu yang menyentuh tentang soal prinsip dan matlamat perjuangan parti masing-masing. Bagi GHB keutuhan Pakatan Rakyat untuk menghapuskan kezaliman kerajaan Barisan Nasional adalah yang lebih aula dan perlu diberikan keutamaan berbanding dengan isu-isu lain khususnya tentang isu pelaksanaan hukum hudud. Tindakan PAS yang mengangkat semula isu hudud tanpa berunding terlebih dahulu dengan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain dianggap sebagai tindakan yang tidak progresif dan satu pengkhianatan kepada agenda bersama Pakatan Rakyat.

Sehingga kini, walaupun kebanyakkan penggerak utama GHB adalah bekas-bekas pemimpin kanan dalam parti PAS dan telah berjuang bersama PAS selama lebih kurang 30 tahun, namun mereka sendiri masih tidak begitu pasti sejauh mana agenda perjuangan yang mereka bawa dapat menarik sokongan yang kuat daripada ahli-ahli PAS. Maka sebab itu, walaupun sudah terdapat rundingan dan juga pengumuman mengenai pembentukan Pakatan 2.0, namun status GHB sama ada akan bergerak sebagai parti politik atau sekadar bergerak sebagai NGO masih belum jelas. Hal ini sebenarnya merupakan antara petunjuk bahawa Gerakan Harapan Baru adalah sebuah gerakan yang tercetus daripada momentum yang dihasilkan oleh rasa kekecewaan ataupun PUTUS HARAPAN terhadap PAS. Dan momentum tersebut turut dipanaskan lagi dengan sokongan yang diberikan oleh DAP, PKR dan beberapa NGO yang lain.

Tanpa adanya momentum tambahan yang diberikan oleh DAP, PKR dan NGO-NGO lain, nescaya GHB tidak akan mampu untuk mara sehingga ke tahap hari ini. Ini kerana walaupun kebanyakkan penggerak-penggerak GHB adalah terdiri daripada orang-orang yang hebat dalam arena politik Malaysia, namun dalam situasi mereka yang baru sahaja dikecewakan oleh para perwakilan PAS, mereka hakikatnya memerlukan sokongan dan dorongan daripada pihak lain khususnya daripada DAP dan PKR untuk bertindak sejauh apa yang telah mereka lakukan sehingga ke tahap hari ini. Oleh itu, penafian yang keluar daripada mulut-mulut mereka tidak akan dapat menutup hakikat bahawa PKR dan khususnya DAP mempunyai peranan serta pengaruh dalam menentukan ke arah mana kiblat perjuangan GHB.

Oleh itu, bekas-bekas pimpinan kanan PAS yang tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini seharusnya tidak bertindak terburu-buru sehingga perlu menubuhkan GHB. Penolakan perwakilan PAS terhadap mereka seharusnya dijadikan iktibar untuk memuhasabah diri bagi melihat kekurangan dan kelemahan diri. Tidak salah sekiranya mereka mengambil sedikit masa untuk bertenang dan membina semula kekuatan diri berbanding terburu-buru untuk menyelamatkan ‘ikatan persaudaraan’ yang sedia terjalin dengan DAP dan PKR. Walau apa pun masih belum terlambat bagi semua pengerak-pengerak GHB untuk mengkoreksi dan menilai semula apa yang sedang mereka lakukan.

Anda Mungkin Juga Meminati :

Wednesday 15 July 2015

Perubahan Hakiki Perlu Dilakukan Jika Inginkan Kehidupan Yang Lebih Baik

Bagaimanalah agaknya keadaan kehidupan di Malaysia pada masa akan datang??? Adakah menjadi semakin bertambah baik atau pun sebaliknya??? Secara fitrah semua manusia pastinya mengharapkan kehidupan yang lebih baik. Baik dari segi mudah untuk mencari rezeki, keadaan sekeliling yang selamat, anak-anak dapat membesar dalam persekitaran yang baik, memiliki keluarga yang bahagia dan macam-macam lagi. Dan pastinya tiada manusia yang sihat akal fikirannya yang menginginkan kehidupan yang sentiasa dihimpit dengan pelbagai  masalah kehidupan yang tidak berpenghujung. Hari-hari terpaksa berfikir dan bekerja keras untuk mencari duit bagi memenuhi keperluan kehidupan yang semakin menghimpit, pada masa yang sama sentiasa dibayangi dengan keadaan sekeliling yang tidak selamat, pening memikirkan anak-anak membesar dalam persekitaran yang sangat mencabar dan macam-macam lagi tekanan hidup.

Bagi mereka yang sudah dewasa dan faham serta turut mengambil tahu bagaimana keadaan kehidupan yang terpaksa dilalui oleh kebanyakkan rakyat Malaysia ketika ini, tentunya mereka mempunyai jawapan terhadap persoalan tersebut. Kehidupan yang sedang dilalui ketika ini sahaja sudah cukup mencabar sehingga ramai umat Islam khususnya yang tertewas dengan pelbagai macam masalah dan tekanan hidup yang terpaksa dihadapi. Tertewas sehingga bukan sahaja tidak mempunyai masa untuk memikirkan dan mengumpul bekalan untuk dibawa ke alam akhirat, malah turut tertewas dalam struggle memenuhi tuntutan hidup sehingga merasakan kehidupan amat sempit dan tidak bermakna.  Jika begitulah keadaan kehidupan ketika ini, maka tidak dapat digambarkan bagaimanalah kehidupan yang bakal dilalui pada masa hadapan jika tiada perubahan yang berkesan dilakukan.

Perubahan?! Perubahan yang bagaimana? Adakah perubahan dengan menggantikan pemimpin negara yang sedia ada dengan pemimpin yang lain? Ataupun membuat perubahan dengan menukar Barisan Nasional yang telah lama memerintah dengan parti pembangkang? Jika itulah bentuk perubahan yang ingin dilakukan, nescaya sebenarnya ia bukanlah perubahan yang berkesan dan hakiki. Tetapi ianya hanyalah perubahan yang bersifat sementara dan tidak akan dapat mengubah kehidupan yang sedia ada kepada kehidupan yang lebih baik seperti yang diharapkan.

Ini kerana, hakikatnya permasalahan kehidupan yang menimpa rakyat Malaysia ketika ini, bahkan sebenarnya turut menimpa keatas keseluruhan umat manusia di muka bumi adalah disebabkan oleh kepincangan sistem yang mengatur kehidupan manusia. Secara umumnya semua negara di dunia ketika ini termasuklah Malaysia diatur dengan sistem hidup yang lahir daripada ideologi yang dihasilkan oleh buah pemikiran manusia sendiri.Tidak kira apa jua ideologi sama ada  kapitalis, sosialis, liberalisme, sosialisme demokrat dan lain-lain lagi ianya tidak akan dapat lari daripada hakikat bahawa ideologi-ideologi tersebut merupakan hasil ciptaan buah pemikiran  manusia.

Manusia yang menciptakan dan mendesignnya dengan meletakkan prinsip-prinsip asas serta methodologi untuk ideologi tersebut diamalkan dan dikembangkan.  Semua ideologi tersebut berasal dari akal manusia yang tidak akan dapat lari daripada hakikat ianya didesign untuk memberikan kebaikan atau manfaat kepada golongan-golongan tertentu dan pada masa yang sama akan memberikan keburukan atau kerugian kepada pihak yang lain. Walau sebijak mana manusia yang melahirkan ideologi tersebut, dia sama sekali tidak akan dapat lari daripada keterbatasannya sebagai manusia yang mempunyai banyak kekurangan dan kelemahan. Oleh itu, semakin lama sistem hidup ciptaan manusia dilaksanakan untuk menguruskan kehidupan manusia, maka semakin banyaklah kerosakan yang akan dihasilkan.

Maka sebab itu, walaupun telah berlaku perubahan pemimpin atau parti pemerintah di beberapa buah negara tetapi kehidupan rakyatnya tetap sahaja semakin hari semakin menghimpit. Indonesia misalnya, pasca Reformasi 1998 menjatuhkan Presiden Suharto tetap sahaja masih gagal memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat Indonesia. Walaupun memiliki sumber alam sangat banyak, namun berjuta-juta rakyatnya terpaksa berhijrah ke negara-negara lain untuk mencari rezeki. Begitu juga dengan perubahan kerajaan di negara kuasa ekonomi nombor satu di Asia, iaitu Jepun. Setelah memerintah selama 54 tahun, Parti Liberal Demokrat akhirnya tumpas kepada parti pembangkang iaitu Parti Demokrat dalam Pilihanraya Umum Jepun tahun 2009.  Namun, Parti Liberal Demokrat berjaya menjadi kerajaan semula selepas kemenangan dalam Pilihanraya Umum tahun 2012. Kerajaan telah bertukar ganti, namun Jepun tetap sahaja kekal sebagai antara negara yang mempunyai kos hidup dan kadar bunuh diri yang tertinggi di dunia. Contoh perubahan kerajaan yang masih baru dan mendapat liputan yang sangat luas ialah Arab Spring. Setelah para diktator berjaya dijatuhkan dan digantikan dengan pemerintah yang lain, negara-negara arab yang terlibat dalam Arab Spring tetap sahaja sama, tiada perubahan yang lebih baik berlaku.

Ini kerana punca utama bukanlah pada parti dan orang yang memerintah, tetapi punca utama yang menyebabkan kehidupan manusia semakin lama menjadi semakin sengsara adalah disebabkan oleh sistem hidup yang digunakan dalam mengatur kehidupan manusia. Oleh itu, perubahan hakiki yang akan dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada manusia adalah dengan cara menukar sistem kehidupan yang digunakan ketika ini kepada sistem kehidupan yang diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia iaitu Sistem Khilafah. Ketika Sistem Khilafah dilaksanakan dalam pemerintahan umat Islam, ianya bukan sahaja telah memberikan kesejahteraan kepada umat Islam tetapi juga kepada keseluruhan umat manusia.

Anda Mungkin Juga Meminati: