Wednesday 22 July 2015

Gerakan Harapan Baru (GHB)

Secara teknikalnya Gerakan Harapan Baru (GHB) memerlukan sokongan daripada ahli-ahli PAS untuk menjadi sebuah parti politik yang kuat.  Tanpa sokongan yang kuat daripada ahli-ahli PAS sendiri, nescaya perjuangan GHB sebagai sebuah parti politik tidak akan kemana dan akan berkubur dalam masa yang singkat. Dengan kata lain, demi untuk menjadi sebuah parti politik yang kuat, GHB tidak punya pilihan selain perlu menarik keluar ahli-ahli PAS untuk menyertai mereka.  Ini kerana walaupun GHB boleh menarik sokongan pengundi-pengundi atas pagar, namun hakikatnya mereka tetap memerlukan ahli-ahli yang berjiwa haraki untuk menjadi tulang belakang kepada gerak kerja perjuangan mereka. Sudah tentu, ahli-ahli PAS adalah merupakan golongan yang paling mereka harapkan dan bukannya ahli-ahli PKR mahupun DAP. Malahan PKR dan DAP sudah tentu tidak akan membenarkan ahli-ahli mereka untuk menyertai GHB, walaupun secara zahirnya PKR dan DAP menyokong perjuangan GHB.

Maka untuk menarik ahli-ahli PAS agar menyertai GHB, para penggerak GHB perlu berusaha untuk membuktikan bahawa pendekatan perjuangan yang dibawa oleh GHB adalah lebih cerah untuk memperolehi kemenangan berbanding dengan pendekatan yang dibawa oleh  PAS ketika ini. Kemenangan apa ??? Tentunya tidak lain tidak bukan melainkan kemenangan menawan pentadbiran Putrajaya daripada Barisan Nasional. Kemenangan menawan pentadbiran Putrajaya merupakan satu cita-cita agung Pakatan Rakyat yang sudah terlalu hampir untuk dikecapi pada PRU13 yang lepas, dan kini peluang tersebut semakin terbuka luas apabila komponen utama parti Barisan Nasional iaitu UMNO dan MIC kini sedang dilanda masalah dalaman yang sangat serious. Ditambah pula, banyak isu semasa seperti isu 1MDB, kejatuhan nilai ringgit dan lain-lain lagi telah memberikan banyak disadvantage kepada kerajaan Barisan Nasional.

Oleh itu, bagi DAP, PKR dan GHB peluang tersebut tidak boleh dipersia-siakan dan sebarang isu yang boleh menimbulkan konflik antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat perlu dihindari walaupun ianya merupakan isu yang menyentuh tentang soal prinsip dan matlamat perjuangan parti masing-masing. Bagi GHB keutuhan Pakatan Rakyat untuk menghapuskan kezaliman kerajaan Barisan Nasional adalah yang lebih aula dan perlu diberikan keutamaan berbanding dengan isu-isu lain khususnya tentang isu pelaksanaan hukum hudud. Tindakan PAS yang mengangkat semula isu hudud tanpa berunding terlebih dahulu dengan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain dianggap sebagai tindakan yang tidak progresif dan satu pengkhianatan kepada agenda bersama Pakatan Rakyat.

Sehingga kini, walaupun kebanyakkan penggerak utama GHB adalah bekas-bekas pemimpin kanan dalam parti PAS dan telah berjuang bersama PAS selama lebih kurang 30 tahun, namun mereka sendiri masih tidak begitu pasti sejauh mana agenda perjuangan yang mereka bawa dapat menarik sokongan yang kuat daripada ahli-ahli PAS. Maka sebab itu, walaupun sudah terdapat rundingan dan juga pengumuman mengenai pembentukan Pakatan 2.0, namun status GHB sama ada akan bergerak sebagai parti politik atau sekadar bergerak sebagai NGO masih belum jelas. Hal ini sebenarnya merupakan antara petunjuk bahawa Gerakan Harapan Baru adalah sebuah gerakan yang tercetus daripada momentum yang dihasilkan oleh rasa kekecewaan ataupun PUTUS HARAPAN terhadap PAS. Dan momentum tersebut turut dipanaskan lagi dengan sokongan yang diberikan oleh DAP, PKR dan beberapa NGO yang lain.

Tanpa adanya momentum tambahan yang diberikan oleh DAP, PKR dan NGO-NGO lain, nescaya GHB tidak akan mampu untuk mara sehingga ke tahap hari ini. Ini kerana walaupun kebanyakkan penggerak-penggerak GHB adalah terdiri daripada orang-orang yang hebat dalam arena politik Malaysia, namun dalam situasi mereka yang baru sahaja dikecewakan oleh para perwakilan PAS, mereka hakikatnya memerlukan sokongan dan dorongan daripada pihak lain khususnya daripada DAP dan PKR untuk bertindak sejauh apa yang telah mereka lakukan sehingga ke tahap hari ini. Oleh itu, penafian yang keluar daripada mulut-mulut mereka tidak akan dapat menutup hakikat bahawa PKR dan khususnya DAP mempunyai peranan serta pengaruh dalam menentukan ke arah mana kiblat perjuangan GHB.

Oleh itu, bekas-bekas pimpinan kanan PAS yang tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini seharusnya tidak bertindak terburu-buru sehingga perlu menubuhkan GHB. Penolakan perwakilan PAS terhadap mereka seharusnya dijadikan iktibar untuk memuhasabah diri bagi melihat kekurangan dan kelemahan diri. Tidak salah sekiranya mereka mengambil sedikit masa untuk bertenang dan membina semula kekuatan diri berbanding terburu-buru untuk menyelamatkan ‘ikatan persaudaraan’ yang sedia terjalin dengan DAP dan PKR. Walau apa pun masih belum terlambat bagi semua pengerak-pengerak GHB untuk mengkoreksi dan menilai semula apa yang sedang mereka lakukan.

Anda Mungkin Juga Meminati :

No comments:

Post a Comment