Wednesday 22 October 2014

Campur Tangan Amerika Syarikat Dan Kuasa-kuasa Barat Ke atas Negara Umat Islam

Campur tangan Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa barat yang lain seperti Britain, Perancis dan Russia dalam hal ehwal negara-negara umat Islam di Timur Tengah merupakan perkara asas yang perlu dibincangkan dengan mendalam dalam konteks untuk memahami konflik yang berlaku di Timur Tengah. Kajian atau  perbincangan terhadap konflik di Timur Tengah tanpa membincangkan campur tangan yang dimainkan oleh Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa barat yang lain merupakan satu perbincangan KOSONG dan SIA-SIA. Akar masalah akan gagal difahami dengan benar dan seterusnya penyelesaian konkrit tidak akan berjaya dihasilkan. Inilah yang menjadi punca mengapa setelah puluhan tahun, rantau Timur Tengah tidak pernah sunyi daripada dilanda dengan bermacam-macam konflik berdarah. Ratusan ribu umat Islam yang telah terkorban, namun penyelesaian yang dihasilkan terus gagal membendung konflik yang berlaku, bahkan menjadi semakin tambah meruncing.

Keseriusan campur tangan Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa barat terhadap hal ehwal di Timur Tengah dapat dilihat dengan jelas umpama melihat matahari di siang hari. Misalnya, ketika Arab Spring melanda di beberapa buah negara umat Islam, peranan Amerika dan kuasa-kuasa barat begitu kuat sekali dalam menentukan arah tuju perubahan politik di negara-negara yang terlibat dengan Arab Spring. Ketika pilihanraya President yang pertama diadakan di Mesir selepas kejatuhan Rejim Hosni Mubarak, beberapa orang Pegawai Tinggi Amerika Syarikat termasuklah Setiausaha Negaranya ketika itu, iaitu Hillary Clinton begitu sibuk sekali mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Pemimpin Tertinggi Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) Mesir.

Begitu juga dengan campur tangan  Amerika Syarikat dan Russia dalam kebangkitan rakyat Syria untuk menjatuhkan Rejim Bashar Assad. Amerika Syarikat dan Russia cuba untuk menentukan arah tuju pemerintahan Syria Pasca kejatuhan Rejim Bashar. Bermacam-macam penyelesaian politik yang telah direncanakan oleh Amerika Syarikat dan Russia untuk rakyat Syria. Dengan kata lain, Amerika Syarikat dan Russia telah cuba untuk menentukan bagaimanakah Syria harus ditadbir dan diperintah selepas kejatuhan Rejim Bashar Assad. Walaupun Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa barat yang lain telah berjaya melakukannya yakni menentukan bentuk pentadbiran dan pemerintahan pasca Arab Spring di Tunisia, Libya dan Mesir, namun sehingga kini masih belum berjaya melakukan perkara yang sama di bumi Syria. Maka sebab itu, konflik di Syria yang kini memasuki tahun ke empat sehingga ke hari ini masih belum berakhir (Rujuk : Apakah Perancangan Amerika di Syria selepas Kegagalan Rundingan Geneva II ?).

Perancangan Amerika Syarikat di Timur Tengah seperti Greater Middle East dan New Middle East merupakan ‘Open Secret’ yang jelas menunjukkan betapa besarnya campur tangan yang ingin dilakukan oleh Amerika Syarikat terhadap geopolitik di Timur Tengah. Bahkan bukan itu sahaja,  strategi bagaimana untuk menghadapi kebangkitan umat Islam juga telah dirangka dengan detail oleh agensi perisikan Amerika Syarikat. Ini dapat dilihat daripada hasil kajian yang dijalankan oleh National Security Research Division (RAND) bertajuk Civil Democratic Islam: Partners, Resources, Strategies. Dalam kajian tersebut, umat Islam dikelaskan kepada empat golongan iaitu fundamentalist, tradisionalis, modenis dan sekuler. Pengkelasan tersebut dibuat berdasarkan tahap penerimaan umat Islam terhadap idea dan nilai-nilai dari barat. Seterusnya, merangka strategi bagaimana untuk berhadapan dan berurusan dengan keempat-empat golongan tersebut agar kebangkitan umat Islam dapat dihalang.

Keseriusan campur tangan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya daripada negara-negara barat dalam hal ehwal negara-negara umat Islam di Timur Tengah kerana mereka mempunyai kepentingan politik dan ekonomi yang sangat besar dan merupakan perkara yang terang lagi bersuluh. Hanya manusia yang cetek pemikirannya atau jenis manusia yang hidup untuk makan sahaja yang tidak mengetahui perkara tersebut (Rujuk : Krisis Iraq : Matlamat dan Strategi Amerika Syarikat  dan Disebalik Serangan Amerika Syarikat Ke atas Iraq dan Syria ).  Bukan lagi rahsia bahawa Amerika Syarikat telah berperanan menjatuhkan para pemimpin arab yang menjadi penghalang kepada agenda Amerika Syarikat dan kemudian menaikkan serta menjaga para pemimpin arab yang setia bertuankan Amerika Syarikat. Maka sebab itu, tidak hairan jika pemimpin negara seperti Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan dan Bahrain dengan mudah di arahkan oleh Amerika Syarikat untuk melakukan tugasan membunuh umat Islam di bumi Syria dan Iraq.

Dengan pengaruh dan kekuatan serta dominasi terhadap semua jenis media, Amerika dengan mudah memomokkan Al-Qaeda dan Taliban untuk menyerang bumi Afganistan pada tahun 2001. Amerika Syarikat dengan sesuka hatinya dapat menggunakan negara umat Islam seperti Pakistan untuk dijadikan pangkalan bagi menghancurkan dan membunuh ratusan ribu umat Islam di Afganistan. Pada tahun 2003 pula, Amerika Syarikat menyerang bumi Iraq dengan dakwaan President Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah (WMD). Seluruh media yang dimiliki Amerika Syarikat digerakkan untuk mempropagandakan dengan sehebat-hebatnya dakwaan tersebut. Namun akhirnya, setelah hancur musnah bumi Iraq dan ratusan ribu umat Islam menjadi korban, akhirnya terdedah dakwaan tersebut hanyalah satu penipuan!!!

Apa yang sangat MENJIJIKAN ialah sikap sesetengah umat Islam khususnya para ulama, intelektual dan pemimpin umat Islam memberikan respon positif terhadap kempen yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan ke atas bumi Syria dan Iraq dengan alasan untuk memerangi ISIS. Jika kerajaan Australia, Canada, Perancis dan Britain menyokong dan membantu kempen tersebut ianya adalah respon yang normal bagi negara-negara kafir, namun SANGAT PELIK dan MENJIJIKKAN jika negara-negara umat Islam menyokong apatah lagi turut serta dalam Perikatan Kolonial yang diketuai oleh Amerika Syarikat untuk memasuki Iraq dan Syria secara ketenteraan bagi menyerang ISIS.

Sesungguhnya isu ini adalah isu yang serius dan bukanlah perkara yang remeh. Isu ini juga bukanlah suatu yang ringan bahkan ia sesungguhnya amat berat di sisi Allah, RasulNya dan kaum Mukminin. Wujudnya perikatan ini di negeri kaum Muslimin adalah suatu isu yang besar dan keburukannya juga melebar luas! Ia adalah sebuah kejahatan yang besar dan diharamkan oleh Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW :
“Janganlah kalian meminta penerangan(cahaya) dari api kaum Musyrikin”
[HR Baihaqi dari Sunan al-Qubra, dari Anas bin Malik).

‘Api kaum musyrikin’ ini adalah kiasan kepada entiti ketenteraan kaum Musyrikin dalam peperangan. Rasulullah juga bersabda :
“Aku tidak akan sekali-kali meminta bantuan dari golongan Musyrikin”
[HR Muslim dari Aisyah RA].

Kesimpulannya, walau apa pun jua konflik yang berlaku di negera-negara umat Islam seperti yang sedang berlaku di Timur Tengah ketika ini, pertama, perlu disedari bahawa campur tangan kuasa-kuasa asing khususnya Amerika Syarikat dalam hal ehwal negara umat Islam merupakan masalah utama kepada konflik tersebut. Selagi campur tangan Amerika Syarikat tidak dihentikan dan dihapuskan sama sekali, selagi itulah Timur Tengah tidak akan pernah sunyi daripada dilanda konflik. Kedua, masalah yang ditimbulkan oleh ISIS merupakan masalah umat Islam. Umat Islam mestilah menyelesaikannya sendiri tanpa perlu meminta bantuan daripada negara-negara kafir, apatah lagi negara kafir yang GANAS seperti Amerika Syarikat. Ketiga, para ulama umat Islam seharusnya tidak bersikap hipokrit dalam memberikan penjelasan tentang ajaran Islam, beria-ia dalam menjelaskan tentang kesalahan yang dilakukan oleh ISIS tetapi diam seribu bahasa terhadap sokongan dan penyertaan negara-negara umat Islam dalam Perikatan Kolonial yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Sedangkan ianya merupakan tindakan yang jelas-jelas haram dan bercanggah dengan ajaran Islam.

 Anda Mungkin Juga Meminati



1 comment:

  1. http://planetlambda.blogspot.com/2014/11/israel-attacked-usa.html?m=1

    ReplyDelete