Friday 10 January 2014

Isu Bughah Dalam Pemerintahan Demokrasi

Bughah adalah merupakan satu salah satu daripada banyak elemen dalam sistem pemerintahan Islam. Sama seperti kewajipan memberikan bai’ah taat kepada seorang Khalifah, hanya akan dapat dilaksanakan apabila wujudnya sistem pemerintahan Islam. Bughah tidak boleh digunakan dalam sistem pemerintahan yang bukan Islam, hanya dalam sistem pemerintahan Islam yang diperintah oleh seorang Khalifah/Amir bughah boleh digunakan khusus bagi golongan yang ingin menjatuhkan Khalifah/Amir.

Begitu juga halnya elemen-elemen dalam kehidupan suami isteri seperti kewajipan memberikan nafkah, nusyuz, dayuz dan lain-lain lagi hanya akan terpakai kepada suami ada isteri setelah rumah tangga yang sah dirikan. Elemen -elemen tersebut tidak boleh digunakan dalam perhubungan lelaki dan perempuan tanpa adanya ikatan perkahwinan yang sah.  Contohnya  hukum nusyuz tidak boleh digunakan untuk kekasih perempuan kerana tidak mendengar cakap/taat kepada kekasih lelaki,  bahkan tidak boleh digunakan untuk mereka yg sudah bertunang sekalipun. Dengan kata lain, hukum nusyuz hanya berlaku dalam ikatan perkahwinan yang sah diantara lelaki dan perempuan. Ada syarat-syarat sahnya dan ada akadnya. 

Penggunaan bughah dalam sebuah pemerintahan yang bukan Islam seperti demokrasi yang diamalkan di Malaysia akan menimbulkan banyak kekeliruan. Apatah lagi jika elemen-elemen dalam pemerintahan Islam hanya digunakan secara selective dan di adjust mengikut keperluan semata-mata untuk mempertahankan atau menjustifikasikan tindakan-tindakan sesetengah pihak terutamanya tindakan yang dilakukan oleh golongan pemerintah. 

Begitu juga halnya dengan sesetengah ilmuan agama yang sering membawa hujah agama untuk ‘mendosakan’ tindakan yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang mengkritik pemerintah secara terbuka. Walhal, dalam sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia, parlimen yang merupakan tempat untuk melakukan check and balance yang secara jelas membuka ruang seluas-luasnya kepada ahli-ahli parlimen untuk mengkritik pemerintah. Lihat sahaja persidangan parlimen di kaca TV yang boleh ditonton oleh jutaan penduduk Malaysia, bukan setakat mengkritik dasar pemerintah bahkan sering kali soal-soal peribadi juga dibangkitkan. Jadi, amat pelik apabila terdapat ilmuan agama yang membawa hujah-hujah agama untuk melarang mengkritik pemerintah secara terbuka. Jika betul ilmuan agama tersebut sangat tegas untuk mencegah perbuatan mengkritik pemerintah secara terbuka, maka perkara pertama yang mesti dilakukan ialah meminta supaya sidang parlimen dimansuhkan kerana membuka ruang kepada ahli-ahli parlimen mengkritik pemerintah secara terbuka.

Kembali kepada isu bughah. Dalam pemerintahan demokrasi seperti yang diamalkan di Malaysia, pemerintah boleh ditukar atau jatuhkan melalui pilihanraya atau lombat parti seperti yang pernah berlaku di negeri Perak. Jadi menggunakan bughah dalam pemerintahan demokrasi sudah pasti akan mengelirukan dan memeningkan kerana demokrasi sendiri hakikatnya menyediakan ruang untuk pemerintah digulingkan dengan cara pilihanraya atau lompat parti. Barisan Nasional sendiri telah berjaya menggulingkan kerajaan pakatan pembangkan di negeri Kedah dalam PRU 13, sebelum itu Barisan Nasional juga berjaya menggulingkan kerajaan pakatan pembangkan melalui lompat parti yang dibenarkan dalam demokrasi. Adakah tindakan tersebut bughah? Atau merupakan bughah yang dibenarkan kerana mengikut lunas-lunas demokrasi?

Sebenarnya tidak perlu bersusah payah untuk membahaskan elemen-elemen sistem pemerintahan Islam dalam sistem pemerintahan yang bukan Islam seperti pemerintahan demokrasi kerana ianya merupakan dua frame yang berbeza dan dibentuk/dibina daripada asas yang berbeza. Jika melaksanakan pemerintahan Islam, maka isu bughah dan elemen-elemen lain dalam pemerintahan Islam yang lain  akan dapat difahami dengan jelas. 

Kekeliruan juga sering berlaku apabila menggunakan nas-nas syarak dan kehidupan para sahabat sebagai hujah dalam membahaskan atau menjelaskan sesuatu isu yang timbul dalam sebuah pemerintahan demokrasi. Seperti isu ketaatan, keadilan, adab menegur pemerintah dan lain-lain lagi. Walhal nas-nas syarak yang mereka gunakan atau kehidupan sahabat yang mereka jadikan sebagai contoh adalah dalam frame pemerintahan Islam bukan dalam frame demokrasi. Sepatutnya dalam frame pemerintahan demokrasi rujukannya adalah buku-buku karangan ilmuan demokrasi seperti John Locke dan Montesquieu serta menjadikan tokoh-tokoh demokrasi seperti Abraham Lincoln sebagai suri tauladan.

Maka terapkan pemerintahan Islam jika ingin menjadikan Al-Quran, Hadis dan kitab-kitab karangan ilmuan Islam sebagai rujukan serta menjadikan kehidupan sahabat sebagai suri tauladan.

No comments:

Post a Comment