Friday 17 January 2014

Bab 1 : Mencari Erti Hidup

...... Sambungan 1

Manusia yang memahami erti hidup dengan betul sudah pasti akan tahu apa yang perlu dilakukan dalam kehidupan di dunia ini. Dia akan tahu apa yang menjadi keutamaan dalam hidupnya, dia akan tahu apa perkara yang akan membahagiakannya dan dia juga akan tahu apa yang perlu dikejar dalam hidupnya. Pertimbangan dan kecenderungan hidupnya semuanya diwarnai dengan kesedaran bahawa suatu hari dia pasti akan mati dan akan kembali kepada penciptanya.

Oleh itu setiap manusia mesti mencari erti hidup yang betul dengan memulakanya pada memikirkan hakikat penciptaannya sebagai makhluk yang bernama manusia. Setiap manusia yang sihat akal fikirannya mampu untuk memikirkan dan merenungi kejadian alam semesta untuk memahami akan dirinya sebagai makhluk ciptaan Sang Pencipta.  Tanpa mengira bangsa, keturunan, latarbelakang pendidikan hatta manusia yang tinggal di hujung dunia sekalipun dengan akal yang sihat mampu untuk merenungi dan memikirkan kejadian alam agar terbentuk kefahaman wujudnya Sang Pencipta.

Untuk memahami wujudnya Sang Pencipta yang menjadi asas kepada terbentuknya konsep dalam kehidupan bukanlah sesuatu yang sangat sukar sehingga memerlukan tahap keilmuan yang sungguh mendalam dan memerlukan masa bertahun-tahun sehingga umur sampai separuh abad untuk memahaminya. Dengan hanya memerhatikan dan memikirkan kejadian unta sudah cukup untuk membuka minta masyarakat Arab Badwi untuk meyakini akan wujudnya Sang Pencipta Yang Esa. Begitu jugalah kepada manusia yang tinggal jauh di ceruk dunia nama sekalipun, terlalu banyak kejadian alam yang berada disekelilinya yang dapat renungi dan difikirkan agar terbentuk kefahaman wujudnya Sang Pencipta Yang Esa.

No comments:

Post a Comment