Friday 27 December 2013

Politik Ekonomi : Pengenalan (Siri 1)

Kenaikkan harga barang atau pelbagai lagi masalah ekonomi seperti yang sedang berlaku pada hari ini bukanlah sesuatu yang terjadi secara nature seperti sebatang pokok yang sedang membesar atau seperti manusia yang semakin tua, dimana dengan peredaran masa maka secara nature jugalah harga barang akan semakin meningkat. Tetapi kenaikkan harga barang dan masalah-masalah ekonomi lain seperti bebanan hutang dan kesukaran mendapatkan pekerjaan adalah sesuatu masalah yang disebabkan oleh pengurusan atau sistem ekonomi yang diguna pakai.


Betapa besarnya peranan sistem (aturan) ekonomi yang diguna pakai adalah umpama, pentingnya sistem dalam menyusun atur sebuah rumah. Jika rumah disusun atur dengan betul, maka penghuninya sudah pasti akan berasa selesa. Soket untuk barang-barang elektrik tidak perlu diletakkan disetiap penjuru dengan wayering yang bersimpang siur jika di atur dengan betul. Begitu juga dengan perabot atau barang kelengkapan yang lain, jika diatur dengan betul sudah pasti ianya bukan hanya akan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya bahkan juga secara tidak langsung akan menjadi perhiasan yang sedap mata memandang. Aturan rumah yang betul akhirnya menjadikan sebuah rumah walaupun kecil tetapi dapat memberikan keselesaan apatah lagi jika sebuah rumah yang besar, sudah pasti dengan aturan yang betul akan memberikan lebih keselesaan kepada penghuninya.


Bukan itu sahaja, keselesaan sebuah rumah kesan aturan yang betul akan memberikan suasana pembesaran baik kepada anak-anak. Anggota keluarga atau rakan taulan yang datang berkunjung juga sudah pasti akan merasakan keselesaannya.


Sebaliknya,  jika sebuah rumah tidak diatur dengan betul sudah pasti keadaan rumah tersebut akan menjadi tunggang-langgang. Berada dalam rumah itu sahaja sudah tidak selesa dan otak turut menjadi serabut. Begitu juga la keadaannya kepada pengurusan ekonomi sesebuah negara. Jika ekonomi negara tidak diatur atau diuruskan dengan sistem yang betul, maka akan lahir sebuah kehidupan yang tidak tenteram yang sentiasa dihimpit dengan pelbagai jenis masalah seperti yang sedang kita alami pada hari ini.


Menggunapakai sistem ekonomi yang tidak betul menyebabkan suami isteri yang dua-duanya bekerja dari pagi hingga petang, namun tetap juga sentiasa dihimpit dengan masalah kewangan. Masalah kewangan merupakan punca utama kepada kadar perceraian yang tinggi di kalangan pasangan beragama Islam di negara kita, di mana statistik terbaru menunjukkan tiga kes perceraian berlaku dalam kalangan pasangan beragama Islam dalam tempoh satu jam, lebih 60 peratus adalah berpunca daripada masalah kewangan. Masalah perceraian dan dihimpit masalah kewangan turut memberikan kesan negatif kepada pembesaran anak-anak. Jiwa mereka kosong tanpa bimbingan dan kasih-sayang akibat ibubapa tertalu struggle bekerja untuk memenuhi tuntutan kehidupan yang semakin mendesak, akhirnya lahirnya generasi muda yang hidupnya seperti tidak punya hala tuju serta mempunyai tingkah laku yang sangat merisaukan dan menakutkan.


Selain itu, pengurusan ekonomi negara yang tidak diatur dengan sistem yang betul juga telah menyebabkan  sebilangan anggota masyarakat yang dihimpit dengan masalah kewangan mengambil jalan penyelesaian mudah dengan melakukan jenayah atau perbuatan maksiat. Antaranya rasuah, mencuri, pecah amanah, meragut, menculik, merompak, melacur dan macam-macam lagi. Ini menyebabkan kehidupan sekeliling menjadi semakin tidak selamat. Bila-bila dan di mana-mana sahaja jenayah boleh berlaku.


Dihimpit dengan masalah kewangan, masalah keluarga, masalah anak-anak dan tekanan akibat kehidupan sekeliling yang tidak selamat akhirnya timbul pula masalah lain iaitu tekanan mental. Pada tahun 2010 sahaja Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan seramai lebih kurang 400,227 orang pesakit mental telah dikenalpasti di Malaysia. Apakah jenis kehidupan seperti ini??? Sudahlah bersusah payah untuk menyara kehidupan, tetapi tetap juga dihimpit dengan pelbagai jenis masalah. Lebih menyedihkan lagi, apabila akibat terlalu struggle untuk menyelesaikan masalah kehidupan akhirnya leka dan lalai dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT, terlalu  struggle sehingga lupa bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Terlalu struggle sehingga lupa bahawa bila-bila sahaja maut datang menjemput, terlalu struggle sehingga lupa mengumpul amalan untuk dibawa bertemu dengan Penciptanya.


Inilah sebahagian akibat apabila pengurusan ekonomi tidak diatur dengan sistem yang betul. Untuk merangka apakah sistem yang betul untuk mengatur sebuah rumah, akal manusia mampu untuk memikirkannya kerana ianya hanyalah melibatkan susunatur benda-benda fizikal yang mampu untuk difahami oleh akal manusia. Namun, akal manusia tidak akan mampu untuk memikirkan apakah aturan atau sistem ekonomi yang betul untuk mengatur kehidupan manusia. Untuk memahami sifat dan kecenderungan manusia yang pelbagai latar belakang itu sahaja, tidak terjangkau oleh akal manusia. Apatah lagi untuk memahami kesan saling interaksi semasa manusia yang pelbagai, jauh sekali untuk difahami oleh akal manusia yang sangat terbatas sifatnya. Lihat sahaja buktinya bagaimana kesan penerapan sistem ekonomi yang lahir dari akal Adam Smith yang sedang diterapkan dalam manusia pada hari ini, hancur dan tunggang-langgang dibuatnya  kehidupan manusia….. bersambung.

No comments:

Post a Comment