Monday 28 October 2013

Kerajaan Perpaduan : Adakah Realistik Di Malaysia?


Walaupun sehingga kini rundingan secara jelas ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan belum dilakukan antara pemerintah (BN) dan pembangkang (PR). Namun, berdasarkan kemelut politik dan masalah ekonomi yang sedang menimpa negara, hakikatnya tiada penyelesaian lain yang paling ideal dalam sebuah negara Demokrasi seperti Malaysia untuk keluar daripada kemelut tersebut melainkan pembentukan sebuah Kerajaan Perpaduan, di mana segala dasar dan keputusan ditentukan secara konsensus antara BN dan PR.

Terlebih dahulu perlu difahami bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan bukanlah struktur politik yang kekal, tetapi bersifat sementara untuk menghadapi sesuatu krisis yang meruncing seperti krisis politik dan ekonomi yang sedang menimpa negara pada ketika ini. 

Jika BN atau PR menolak pembentukan Kerajaan Perpaduan kerana ingin membentuk kerajaan  pada Pilihanraya Umum yang akan datang, sebenarnya mereka masing-masing harus menerima hakikat dan memahami bahawa landskap politik negara sudah berubah. Landskap politik semasa menunjukkan sudah sangat sukar lagi untuk satu pihak dapat mengalahkan satu pihak lagi dengan kemenangan besar atau sekurang-kurangnya memperoleh kemenangan ⅔  dalam Pilihanraya Umum bagi membentuk sebuah kerajaan yang kuat. 

Jika akhirnya kedua-dua pihak bersetuju untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, adakah ianya sesuatu yang realistik di Malaysia? Sebelum itu, mari kita cuba teliti terlebih dahulu apakah antara halangan-halangan yang dihadapi kearah merealisasikan Kerajaan Perpaduan di Malaysia. 

Pertama, perlunya penyertaan daripada semua komponen parti BN dan PR. Ini merupakan halangan utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. 

Umum mengetahui kekuatan BN dan PR bukannya hanya terletak pada satu-satu parti tertentu sahaja tetapi kekuatan lahir daripada perikatan atau pakatan yang dibentuk.  Maka, jika sebuah Kerajaan Perpaduan ingin dibentuk ianya mesti merangkumi kesemua komponen parti, tidak boleh hanya melibatkan UMNO-PAS atau UMNO-PKR atau UMNO-PAS-PKR sahaja. Ini kerana ianya sudah pasti akan memecahkan perikatan/pakatan yang telah sedia dibentuk. Selain itu, pembentukan Kerajaan Perpaduan yang hanya melibatkan parti-parti politik Malayu sahaja sudah pasti akan menyebabkan kaum-kaum lain terutamanya kaum Cina, India dan kaum-kaum lain yang terdapat di Sabah dan Sarawak akan merasa terancam dan perlu melakukan sesuatu demi mempertahankan kepentingan kaum mereka. Akhirnya, timbul pula masalah lain. 

Mengharapkan penyertaan kesemua parti untuk menyertai pembentukan Kerajaan Perpaduan juga sebenarnya bukan mudah. Ini kerana, sikap kecurigaan yang sangat menebal antara kaum serta konflik keagamaan yang semakin menjadi-jadi menyukarkan usaha tersebut, ditambah lagi dengan pengalaman-pengalaman pahit antara parti seperti UMNO dan PAS, dendam PKR dengan UMNO, pertelingkahan MCA dengan DAP dan lain-lain lagi.

Kedua, mengetepikan kepentingan politik  dan mengutamakan kepentingan nasional.

Secara keseluruhannya parti-parti politik yang ada di Malaysia adalah parti yang berasaskan kaum dan berkait rapat dengan anutan agama. Perjuangan terhadap kepentingan kaum dan anutan agama merupakan sesuatu yang sangat penting bagi kebanyakkan parti politik yang ada di Malaysia. Walaupun terdapat sesetengah parti cuba untuk lari daripada identiti parti perkauman, namun sangat sukar untuk lari dari hakikat tersebut. Oleh yang demikian, untuk memenuhi tuntutan mengetepikan kepentingan politik bermakna harus mengetepikan teras utama perjuangan parti iaitu kepentingan kaum. Pada masa yang sama, ianya sudah pasti tidak dapat lari daripada kepentingan yang berkaitan dengan agama. Berdasarkan beberapa isu yang perna ditimbulkan sebelum ini, seperti isu sekolah wawasan, isu keistimewaan bumiputera dan terbaru isu kalimah Allah, jelas menunjukkan tidak mungkin mereka sanggup untuk mengetepikan kepentingan masing-masing.

Ketiga, persetujuan pembahagian Jawatan Menteri. 

Oleh kerana secara keseluruhannya parti politik yang ada di Malaysia adalah berasaskan kaum dan bilangannya sangat banyak, maka ianya menjadikan politik di Malaysia menjadi lebih kompleks berbanding dengan negara-negara lain. Ini kerana pertembungan bukannya antara satu parti dengan parti yang lain, tetapi melibatkan pertembungan sekumpulan parti dengan sekumpulan parti yang lain. Barisan Nasional misalnya terdiri daripada 13 buah komponen parti yang mempunyai kepentingan parti masing-masing. Maka, apabila Barisan Nasional menang dalam pilihan raya umum yang lepas, perkara penting yang perlu diselesaikan ialah pembahagian Jawatan Menteri dalam Kabinet. Jika Kerajaan Perpaduan dibentuk dengan penyertaan 3 buah parti politik yang besar daripada Pakatan Rakyat, pembahagian Jawatan Menteri dalam kabinet sudah pasti menjadi lebih sangat rumit untuk diselesaikan. Masing-masing sudah pasti menuntut Portfolio yang penting dan dapat memberikan manfaat kepada parti dalam jangka masa yang panjang. 

Keempat, perbezaan ideologi. 

Perbezaan ideologi antara parti politik yang ada di Malaysia juga menjadi cabaran yang sangat besar ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan. Perbezaan ideologi ini menyebabkan pandangan terhadap sesuatu perkara dilihat dari kaca mata yang berbeza. 

Untuk mengatasi halang-halangan yang telah disebutkan diatas, ianya memerlukan tahap kompromi dan sifat mengalah yang begitu tinggi. Sekali pandang macam boleh dilepasi, namun apabila diukur berdasarkan realiti semasa ianya merupakan halangan-halangan yang tidak  mungkin untuk dapat diatasi.

Anda Mungkin Juga Meminati:

No comments:

Post a Comment